PIHAK persatuan yang gagal mengikut garis panduan sukan drag dan motorcross bakal berdepan tindakan disenarai hitam sekali gus tidak layak menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia merupakan jaminan buat mana-mana persatuan yang mahu menganjurkan sukan perlumbaan itu agar dapat menitikberatkan soal pematuhan garis panduan lebih komprehensif disediakan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
"Daripada segi penguatkuasaan, kita (KBS) akan buat laporan polis jika ia (pelanggaran garis panduan) berlaku sementara Pesuruhjaya Sukan (PJS) boleh senarai hitam mana-mana persatuan atau kelab yang degil dapatkan sanksi dan mereka tidak akan dapat peruntukan itu.
"Kita akan cari jalan untuk pastikan hanya yang betul bertanggungjawab sahaja dalam industri sukan ini boleh bergiat dalam sukan permotoran,” katanya dalam sidang media pelancaran buku garis panduan itu, di sini pada Khamis.
Garis panduan dikemaskini meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi kedua-dua disiplin sukan permotoran yang cukup popular itu bertujuan mewujudkan persekitaran lebih selamat serta terkawal.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, dalam masa sama, mana-mana perlumbaan berkaitan drag dan motocross yang tidak mendapat kelulusan daripada KBS akan diiktiraf sebagai lumba haram.
"Tumpuan kepada keselamatan dan profesionalisme akan memupuk komuniti sukan permotoran yang lebih mampan dan inklusif yang boleh berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang,” katanya. - Bernama