AMPANG - Tindakan seorang juruteknik mencabul kehormatan jirannya yang juga seorang pelajar Tingkatan Empat di lif sebuah kondominium tahun lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Alvin Kam Jee Wing, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.
Mahkamah memerintahkan lelaki bujang itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda terbabit.
Kesalahan dilakukan di lif sebuah kondominium di Bandar Sungai Long, Kajang di sini, pada jam 2.22 petang, 28 Mac 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebatan, atau dengan mana-mana dua seksaan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa menunggu lif di rumahnya selepas pulang dari sekolah, dia mendapati tertuduh turut berada dalam lif yang sama.
Tertuduh secara tiba-tiba memegang bahu mangsa dan menolaknya ke lantai, kemudian dia meminta pertolongan, lalu dibantu oleh seorang wanita selepas lif berkenaan berhenti di tingkat lapan kondominium berkenaan.
Semasa prosiding, peguam, Wan Nur Afifah Che Bakar mewakili tertuduh merayu, agar anak guamnya didenda pada kadar minimum tanpa pemenjaraan.
"Dia berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa depan dan memohon maaf atas perbuatan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahamad Zulhasnan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal demi kepentingan awam di samping mengambil kira mangsa merupakan seorang pelajar.