Terpedaya janji manis peluang kerja

Iklan
Lima wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks diselamatkan dalam serbuan di ibu negara pada Rabu. Gambar kecil: Ruslin

KUALA LUMPUR - Enam wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks diselamatkan dalam serbuan di premis kedai tiga tingkat di sini, pada Rabu.

Serbuan bermula jam 10 malam itu dijalankan sepasukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, mangsa membabitkan lima warga Vietnam dan seorang Thailand berusia 23 hingga 40 tahun.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ mengawal wanita warga asing ini dan mendapatkan keuntungan hasil eksploitasi turut ditahan.

Iklan

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak menolak kemungkinan aktiviti ini melibatkan sindiket.

Seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai 'captain' ditahan dalam serbuan premis kedai di ibu negara, pada Khamis.

"Modus operandi sindiket adalah dengan menjanjikan peluang pekerjaan yang sah, namun telah dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, sindiket mempromosi mangsa ini melalui aplikasi dalam talian di mana wanita yang dipilih akan diuruskan langganannya di premis tersebut.

Katanya, sindiket telah mengaut keuntungan berlipat ganda hasil daripada mengeksploitasi mangsa dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM240 bagi satu jam langganan.

Bagaimanapun, mangsa hanya diberikan upah sebanyak RM100 bagi tempoh tersebut.

Tempat tinggal wanita warga asing yang ditemui di premis kedai yang dipercayai menjalankan aktiviti seks, di ibu negara pada Rabu.

Tambah Ruslin, pergerakan kesemua wanita ini terbatas dan dikawal sepenuhnya oleh ‘handler’.

"Makanan juga hanya dipesan melalui aplikasi p-hailing, tidak dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan diri selain pasport turut dipegang oleh sindiket," ujarnya.

Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

"JIM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," ujarnya.

Jelasnya, sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.