Tragedi Sungai Kayan: Pengawas keselamatan dilantik pantau pelajar

Iklan
Mayat Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung lebih kurang 1 km dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu pada 21 Ogos lalu. Foto JBPM

LUNDU - Seorang pengawas akan dilantik bagi memantau keselamatan pengguna yang menggunakan perkhidmatan bot penambang di Sungai Kayan Kampung Selampit, kata Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pengawas itu akan memantau para pelajar, khususnya di waktu puncak pergi dan balik sekolah agar mereka mematuhi peraturan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki tidak melebihi muatan.

"Walaupun peraturan mengenai jaket keselamatan sudah ada, namun penguatkuasaannya kadangkala kurang efektif... jadi dengan adanya pengawas ini penguatkuasaan keselamatan akan terjamin.

Iklan

"Penting untuk mematuhi peraturan keselamatan sebagai langkah pencegahan dan sebagai pengajaran daripada insiden yang berlaku. Ini peringatan bagi semua pihak untuk lebih berhati-hati dan tidak menganggap sesuatu yang biasa sebagai tidak berbahaya," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa tragedi bot karam yang berlaku di kampung itu pada 20 Ogos lepas.

Iklan
Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, sebuah bot yang dinaiki 20 penumpang termasuk 16 pelajar karam di Sungai Kayan.

Kejadian ini meragut nyawa tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Senibong iaitu Helena Fasha Petrus, Alasma Jithil dan Vilkie Wilson.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Opar Billy Sujang berkata, pengusaha bot penambang di kawasan berkenaan turut diminta untuk menggantikan bot sedia ada kepada bot fiber baharu yang sesuai serta mengikut spesifikasi.

"Hasil mesyuarat bersama pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Ketua Komuniti dan Penghulu, mendapati bot sedia ada tidak memenuhi standard keselamatan yang diperlukan.

"Saya memberikan tempoh seminggu kepada mereka (pihak terlibat) untuk memikirkan reka bentuk bot baharu, mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Kos itu ditanggung pusat khidmat setelah sebut harga bot akan disiapkan dalam tempoh dua bulan," katanya.

Kapasiti maksimum bot penambang baharu hanya boleh membawa 12 penumpang termasuk sebuah motosikal selain turut dilengkapi jaket keselamatan, pelampung dan lampu solar.- Bernama