Bubbles O2 Sdn Bhd (Bubbles O2), syarikat air mineral semulajadi jenama tempatan, kini bersedia memenuhi permintaan yang tinggi sehingga tiga kali ganda sejak akhir 2023.
Pengarah Urusannya, Ain Azizah Arifin berkata, peningkatan itu mendorong usaha strategik syarikat memperbesarkan kilang pengeluaran produk mereka di Kampung Kanchong, Rantau, Negeri Sembilan.
"Saiz kilang kami kini dua kali ganda lebih besar daripada sebelumnya, dilengkapi dengan fasiliti tercanggih demi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa,” kata Ain Azizah semasa Majlis Pelancaran Kilang Baharu, di Rantau, pada Khamis lalu.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
"Kilang ini kini mencapai 70 peratus automasi, satu pencapaian besar bagi syarikat yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2019.
"Kapasiti pengeluaran di kilang baharu ini boleh ditingkatkan sehingga 300 peratus dari kapasiti sebelumnya, seiring dengan pertumbuhan permintaan pasaran dalam dan luar negara. Dengan pengembangan ini, kilang kini mampu menghasilkan minimum 4,000 karton atau 100,000 botol sehari,” katanya.
Ain Azizah berkata, Bubbles O2 juga komited terhadap pembangunan jangka panjang, termasuk sumbangan kepada pekerja dan ekonomi tempatan.
"Melalui sokongan agensiagensi kerajaan dibawah KUSKOP seperti Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), SME Corp, dan SME Bank, pihak syarikat telah melabur dalam fasiliti dan mesin untuk meningkatkan kecekapan dan kepantasan pengeluaran.
"Kilang ini merupakan salah satu pencapaian besar selain inovasi botol Bubbles O2 sebelumnya,” jelas Ain Azizah.
Beliau berkata, dengan adanya kilang baharu ini, Bubbles O2 mampu mencapai unjuran nilai jualan RM22 juta pada tahun hadapan.
Bubbles O2 kini giat meninjau pasaran baharu setelah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti di Brunei, Indonesia, Dubai, dan Amerika Utara.
Baru-baru ini pihak syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pasaran di Afrika Utara dan Amerika Syarikat.
Sokongan kepada Yayasan Al-Ammar
Ain Azizah berkata, sebahagian daripada keuntungan Bubbles O2 akan disalurkan kepada Yayasan Al-Ammar, yang memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat, terutama keluarga B40.
"Yayasan ini memfokus kepada inisiatif pendidikan, dengan matlamat utama membantu kanak- kanak daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat peluang pendidikan yang lebih baik dan seterusnya menabur bakti pada keluarga dan masyarakat.
"Melalui penubuhan Ma’ahad Tahfiz Al Ammar, pihak yayasan berhasrat untuk menghasilkan hufaz profesional yang bukan sahaja hafal al-Quran, tetapi juga cemerlang dalam pelbagai bidang profesional seperti kejuruteraan, kewangan dan akaun serta sains,” katanya.
Beliau berkata, para pelajar kategori B40 ini dipilih seawal usia 13 tahun ditaja sepenuhnya oleh pihak yayasan sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
"Mereka belajar dalam suasana dan infrastruktur kondusif ala resort di Kompleks Yayasan Al Ammar, berlokasi di Rantau, Negeri Sembilan. Adalah diharapkan dengan sokongan dan bantuan seperti ini, mereka dapat fokus dan meneruskan pelajaran tanpa memikirkan halangan kewangan, sekali gus membina asas yang kukuh untuk pembangunan masyarakat jangka panjang,” katanya.
Sasar 30 peratus peningkatan jualan Menurut Ain Azizah, setiap tahun, Bubbles O2 menyasarkan peningkatan jualan sekurangkurangnya 30 peratus berbanding dari hasil jualan sebelumnya.
"Pada Tahun Kewangan 2023/2024, kami menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta dan setakat penutupan akaun pada Jun 2024, nilai jualan kami telah melebihi sasaran iaitu RM15 juta."Ini sekali gus menggambarkan penerimaan baik pasaran tempatan terhadap jenama Bubbles O2”, tambahnya lagi.
Sejak penubuhannya pada 2019, Bubbles O2 kini boleh didapati di lebih daripada 5,000 outlet tempatan seperti Petronas Mesra, 7-Eleven, Aeon Big, Aeon, Xpress Point Caltex, Mydin, dan lain-lain. Terbaru, Bubbles O2 juga kini boleh didapati di pasaraya Giant dan MyNews.
Peningkatan pengeluaran dan peluang pekerjaan
Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki berkata, kejayaan ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan oleh agensi di bawah KUSKOP seperti Pernas, SME Corp, dan SME Bank.
"Dengan pembukaan kilang baharu ini, kami yakin Bubbles O2 akan terus maju dan mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, Bubbles O2 juga memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi tempatan dengan memastikan pekerja syarikat terdiri daripada 100 peratus warganegara Malaysia.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan,” kata Arifin.
Menurut Ain Azizah, yang dirinya sendiri baru menginjak usia 26 tahun, memberitahu bahawa lebih 50 peratus pengurusan syarikat terdiri daripada individu berumur antara 25 hingga 40 tahun.
"Ini merupakan cerminan azam jitu syarikat melalui kepercayaan tenaga muda yang dinamik menyahut cabaran meneroka kejayaan berterusan,” tambah Ain Azizah.
Sementara itu, Ewon memuji pencapaian Bubbles O2 yang luar biasa dalam tempoh singkat, mampu dicontohi oleh syarikat kecil dan sederhana tempatan lainnya.
Beliau berkata, gabungan inisiatif penjenamaan berimpak tinggi, terutamanya penajaan acara berprestij seperti Le Tour de Langkawi dan sebagai Rakan Rasmi Air Mineral Beroksigen untuk Majlis Sukan Negara (MSN) dan Malaysian Football League (MFL), berjaya membuka mata dan membina imej positif syarikat setanding jenama produk terkenal lainnya.
"Kementerian berbangga dengan kejayaan syarikat PMKS tempatan seperti Bubbles O2 dan komited untuk terus menyokong mereka melalui pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif,” tambahnya.