SHAH ALAM - Pelbagai aspek kerjasama dibincangkan menerusi lawatan rasmi selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat sebagai satu langkah maju dalam perkasa hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi pertemuan berkenaan kedua-dua negara itu bersetuju untuk mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya sumbangan tanah, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan latihan.
"Kami berterima kasih kepada pemerintah Timor-Leste kerana tanah seluas 6,000 meter persegi diberikan kepada pemerintah Malaysia untuk membangunkan gedung kedutaan besar Malaysia di Dili.
"Yang kedua, kita juga menyentuh soal perdagangan dan pelaburan di mana kita juga mengucapkan selamat, syabas kepada Timor-Leste kerana menjadi anggota dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"Ini adalah satu perkara yang memudahkan Timor-Leste memperluaskan perniagaan dan perdagangan di seluruh dunia serta Malaysia sentiasa dekat di hati untuk membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan, pertemuan tersebut turut membicara aspek pendidikan dan latihan menerusi penawaran sebanyak 50 tempat untuk pelajar Timor-Leste yang mahu melanjutkan pelajaran di Malaysia.
Ujarnya, penempatan akan diberikan bagi kepada mereka untuk belajar 'S dua dan S tiga Masters' dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta ia merupakan tawaran tempat percuma serta-merta.
"Begitu juga, kita menawarkan untuk lepasan sekolah menengah bagi mendapatkan latihan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET ), di mana di Malaysia mempunyai 1,345 institusi TVET dan kita boleh tawarkan tempat untuk pelajar dari Timor-Leste.
"Di samping itu, Malaysia dan Timor-Leste juga mengadakan perbincangan dan berkongsi pengalaman bagi memajukan kawasan luar bandar melalui sistem dan juga ekosistem sedia ada," ujarnya.
Tambah beliau, dalam aspek pelancongan dan kemudahan visa, kedua-dua negara sedang membincangkan kemudahan aksesibiliti antara Kuala Lumpur serta Dili.
Menurut Ahmad Zahid, ia termasuk kemungkinan penubuhan penerbangan khas untuk membawa pelancong antara kedua negara dan satu perbincangan terperinci mengenai perkara itu akan dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.
"Akhirnya, tahun hadapan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pendukung yang kuat, Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN.
"Kita akan membantu Timor-Leste bagi memenuhi syarat-syarat untuk dipermudahkan untuk menyertai keanggotaan ASEAN," ujar beliau.