'Tiada niat jadikan video sebagai bukti, hanya gerak hati' - Saksi

Iklan
Ebit Lew diiringi barisan peguamnya ketika tiba di Mahkamah Tenom.

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah dia tiada tujuan mahu menjadikan rakaman video perbualan panggilan video bersama seorang lelaki sebagai bukti.

Pengadu yang juga saksi pendakwaan yang kesembilan dalam kes itu memberitahu mahkamah ketika menjawab pemeriksaan balas daripada peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Iklan
Iklan

Ram meminta pengadu menerangkan mengenai tujuan sebuah lagi telefon bimbit yang digunakannya untuk merakam video dan satu lagi untuk panggilan video.

"Gerak hati saya masa itu datang, sebelum ini saya tidak pernah rakam, itu kali pertama saya rakam.

Iklan

"Gerak hati saya, saya tiada tujuan lain," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tenom, di sini pada Khamis.

Ram kemudian bertanya adakah pengadu kongsikan rakaman video itu kepada pihak ketiga dan kepada siapa dia kongsikan video tersebut?

Iklan

"Ada, semasa kena minta bukti. Akhi dan polis," katanya merujuk kepada saksi pendakwaan pertama, Akhi Fairuz Al-Jengkawi atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Abu, 39.

Bagaimanapun, pengadu memberitahu kepada mahkamah bahawa telefon bimbitnya jenis Samsung Galaxy A31 hanya diperoleh pihak polis Bukit Aman selepas telefon itu dirampas mereka.

Ram dalam pada itu turut meminta pengadu menjelaskan telefon bimbit mana yang digunakannya untuk merakam video perbualan panggilan video bersama lelaki tersebut.

"Saya rakam perbualan kami lepas itu saya simpan di telefon rumah itu dan saya ada hantar (rakaman video) ke telefon peribadi saya Samsung (Galaxy A31)," kata pengadu.

Dalam soalan Ram seterusnya bertanya kepada pengadu apakah jenis telefon bimbit yang satu lagi yang dijadikan sebagai telefon rumah dan digunakannya untuk merakam video tersebut.

"Saya ingat, Samsung Noted 9," beritahunya kepada mahkamah.

Untuk rekod, video tersebut merujuk kepada keterangan pengadu dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya pada Mei lalu yang menerangkan ia adalah mengenai video yang sempat dirakamnya pada hari terakhir sebelum nombor telefon tersebut disekatnya.

Dalam perbicaraan tersebut, pengadu memberitahu mahkamah bahawa dalam video itu terdapat suara Ebit Lew yang memintanya menunjukkan badan, payudara dan kaki namun tidak dipenuhinya.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.

Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.