Bom lama di Kluang berjaya dimusnahkan

Iklan
Laporan Sinar Harian

KLUANG - Bom lama jenis Aeriel 500 Ibs yang ditemui semasa kerja pembersihan di kawasan perumahan berhampiran Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, Selasa lepas berjaya dimusnahkan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, bom yang berjaya dimusnahkan kira-kira pukul 5 petang itu dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerja-kerja pemusnahan berkenaan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

"Sebelum itu pada Selasa, penemuan bom lama terbabit dilaporkan di Balai Polis Renggam oleh pekerja syarikat pemaju yang membersihkan kawasan tapak perumahan berhampiran Taman Sri Lambak.

Iklan

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota UPB daripada IPK Johor serta IPD Kluang dikejarkan ke lokasi penemuan bom itu dengan tujuan untuk pemusnahan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika kerja pemusnahan dilakukan, lubang tempat memusnahkan bom itu runtuh sehingga ia ditangguhkan dan dalam masa yang sama mengakibatkan dua anggota UPB cedera serta dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Iklan

"Kerja-kerja memusnahkan bom lama itu kemudiannya dilakukan pada hari ini dan ia berjaya kira-kira pada pukul 5 petang tadi,” katanya. - Bernama