KUALA LUMPUR - Industri halal berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Timor-Leste, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada sesi perbincangan Meja Bulat Halal anjuran Halal Development Corporation (HDC) serta Trade Invest Timor-Leste di Dili pada Khamis, beliau yang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke negara itu bermula semalam, juga mengetengahkan peluang besar yang boleh dijana oleh Timor-Leste menerusi pasaran halal yang dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.
Menerusi usaha memanfaatkan industri yang berkembang pesat ini, Timor-Leste juga mampu mempelbagaikan ekonominya, menarik pelaburan asing dan menjana pekerjaan, khususnya pelancongan, pengeluaran makanan dan farmaseutikal, katanya.
"Ketika Timor-Leste berusaha meraih keanggotaan ASEAN, (langkah) mengintegrasikan amalan halal akan menjadi lebih penting.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun yang turut serta dalam perbincangan hari ini, juga mengulangi komitmen Malaysia untuk menyokong Timor-Leste dalam menguasai pasaran halal global.
Aspek lain, kata beliau, adalah penekanan kepentingan perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam memenuhi piawaian antarabangsa.
"Pelancongan yang dikenal pasti sebagai gerbang pembangunan halal, juga berpotensi untuk menarik kehadiran pengembara Muslim dan menjadi asas untuk pertumbuhan industri dengan lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata, sesi perbincangan yang dihadiri lebih 20 organisasi daripada sektor pelancongan dan hospitaliti, berakhir dengan gesaan bersama untuk bertindak membangunkan industri halal yang pesat di Timor-Leste, sekali gus mencerminkan visi bersama untuk memanfaatkan halal sebagai kuasa pembangunan ekonomi dan kerjasama antarabangsa.
Ahmad Zahid juga berkongsi kejayaan Malaysia dalam industri halal yang diterajui oleh HDC dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disifatkan beliau sebagai bukti peluang ditawarkan oleh sektor berkenaan.
"HDC telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan pasaran serta pelaburan dalam industri halal manakala Jakim pula memastikan pensijilan halal Malaysia memenuhi piawaian tertinggi global.
"Pengalaman dan amalan terbaik ini dapat menjadi pelan tindakan untuk Timor-Leste ketika berusaha untuk membangunkan sektor halalnya sendiri,” kata beliau. - Bernama