Jenazah Arman San selamat tiba di Tawau

Iklan
Jenazah Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa diusung keluar oleh pasukan pengusung Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari bilik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), selepas proses bedah siasat selesai pada Khamis. Foto Bernama

TAWAU - Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 yang membawa jenazah Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa tiba di Lapangan Terbang Tawau di sini pada jam 7.06 malam ini.

Pesawat itu turut membawa isteri serta anak lelaki Allahyarham dan sembilan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada KD Sri Tawau kemudian membawa keluar jenazah dengan istiadat ketenteraan.

Iklan
Iklan

Jasad Arman San, yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop, Johor semalam, akan dibawa ke kampung halamannya di Sapagaya, Silam, Lahad Datu terletak 126 kilometer dari sini.

Jenazah anak bongsu daripada 10 beradik itu akan disolatkan di surau berdekatan rumah keluarganya di Sapagaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan, Lahad Datu lewat malam ini.

Iklan

Panglima Markas Wilayah Laut 2 TLDM Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris serta pegawai dan anggota TLDM lain turut menyambut ketibaan jenayah Allahyarham di Lapangan Terbang Tawau.

Arman San, 28, berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau daripada Markas Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM.

Iklan

Pada 25 Ogos lepas, KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air. - Bernama