Tanah jerlus Masjid India: Risiko berdepan 100 tan tekanan air

Iklan
Nor Hisham ketika sidang akhbar di lokasi insiden tanah jerlus dekat Jalan Masjid India di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bukan sahaja perlu berdepan 100 tan tekanan air, malah pelbagai objek lain yang berada dalam pembentungan menjadi risiko yang perlu ditempuh sekiranya halangan dalam saluran pembentungan di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, di sini dialihkan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, halangan itu berjaya dikesan berdasarkan dua ujian yang dijalankan dengan tindakan melepaskan tong air.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemerhatian yang dijalankan mendapati tong air berkenaan tidak keluar sehingga ke loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.

"Proses sekitar jam 2 pagi, kita alihkan aliran masuk ke dalam pembentungan bagi mengurangkan paras air selain menggunakan pam berkapasiti tinggi dan hasilnya kita dapat kurangkan kapasiti air, namun tidak ketara.

Iklan

"Selain itu, kamera juga dimasukkan dari dua arah bagaimanapun didapati tiada pengurangan air yang nyata, atas faktor ini kita percaya terdapat serpihan atau objek yang menjadi halangan yang beranggaran 15 meter," katanya menerusi sidang akhbar di lokasi insiden tanah jerlus Jalan Masjid India, di sini pada Khamis.

Katanya, apa yang menjadi kerisauan adalah halangan berkenaan dijangka mampu memberi tekanan 100 tan tekanan air sekiranya terungkai.

Iklan

"Keadaan ini akan memberikan risiko kepada anggota yang melakukan selaman dalam air.

"Jadi sebagai langkah keselamatan, kita akan menggunakan kaedah tarikan bagi alatan khas terdiri daripada pasukan mencari dan menyelamat JBPM, (IWK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Menurutnya, kaedah tarikan itu tidak dapat dilaksanakan ketika ini susulan tekanan himpunan halangan itu, selain paip pembentungan yang dipenuhi air.

"Kita perlu kurangkan kadar air dalam saluran pembentungan itu terlebih dahulu dan lakukan langkah-langkah tarikan halangan terbabit.

"Penilaian perlu dilakukan terlebih dahulu melibatkan aspek keselamatan, sama ada keadaan selamat untuk turun atau kaedah lain," katanya.

Nor Hisham berkata, anggota yang melakukan pencarian diwajibkan memakai set pakaian lengkap skuba serta oksigen mencukupi.

"Apa yang penting adalah kadar oksigen yang mencukupi bagi anggota menjalankan pencarian, tidak dinafikan ada bahan kimia di dalam sana seperti methane dan gas lain memenuhi ruang menyebabkan kadar oksigen akan turun.

"Atas faktor itu, langkah serta aspek keselamatan diwajibkan, selain pematuhan terhadap tahap piawaian ditetapkan IWK.

"Perkara ini penting bagi memastikan keadaan sesuai dan selamat dapat dipastikan kepada petugas penyelam turun ke dalam pembentungan," katanya.

Jumaat lalu, seorang wanita warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.