JAGUH berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin tetap berpuas hati dengan prestasinya di sebalik kegagalan melayakkan diri ke final acara 3,000 meter (m) kejar-mengejar individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024, di sini, hari ini.
Pada pusingan kelayakan berlangsung di Velodrom Saint-Quentin-En-Yvelines, kira-kira setengah jam perjalanan dari sini, Yusof Hafizi menduduki tempat kelima daripada tujuh pelumba secara keseluruhan dengan catatan 3 minit 55.254 saat (s).
Dua pelumba teratas layak ke perlumbaan penentuan emas manakala pelumba ketiga dan keempat terbaik akan bertarung merebut gangsa.
Yusof Hafizi berkata, keputusan tersebut masih dianggap baik memandangkan beliau berjaya memperbaharui catatan masa peribadi terbaik 4:01.314s yang pernah dilakukan sebelum ini pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil.
Malah, pencapaian hari ini juga menyaksikannya memperbaiki prestasi pada penampilan sulungnya di pentas Paralimpik bagi edisi Tokyo 2020 selepas menamatkan cabaran di tangga ketujuh pada pusingan kelayakan.
"Saya bangga dengan usaha saya hari ini dan berharap dapat bangkit serta tidak mudah mengalah kerana ada banyak lagi acara saya sertai di sini,” katanya kepada media Malaysia selepas perlumbaan hari ini.
Atlet berusia 26 tahun itu akan meneruskan perjuangan dalam tiga acara lain di sini iaitu 1,000m ujian masa 1-3 (kecacatan fizikal) serta dua acara lebuh raya - ujian masa individu dan perlumbaan lebuh raya.
Walaupun tidak menepati sasaran awal ke final, ketua jurulatih skuad berbasikal para negara, Johari Mohd Nayan tetap bersyukur anak buahnya tetap menampilkan perlumbaan memberangsangkan dengan memperbaharui catatan peribadinya.
Johari optimis atlet dari Kuala Kangsar, Perak itu mampu tampil lebih matang untuk cuba ke final dan menggegarkan Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.
"Pencapaian hari ini memang baik, dari segi umur beliau masih muda dan ada peluang baginya memperbaiki persembahan, tambah kelajuan dan membina kekuatan pada masa depan,” katanya.
Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dibuka secara rasmi semalam akan berakhir 8 September ini. - Bernama