Lelaki nyaris maut disengat 240 ekor tebuan

Iklan
Andrew Powell nyaris maut disengat 240 tebuan di kawasan berhampiran rumahnya di Brecon, Wales. Agensi

LONDON - Seorang lelaki menempuh detik mencemaskan apabila diserang ratusan tebuan di sebuah ladang terletak berhampiran Brecon, Wales yang menyaksikan kira-kira 240 tanda sengatan di seluruh badan.

Semasa kejadian, Andrew Powell, 57, sedang dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya yang tidak jauh dari rumah mereka.

Iklan
Iklan

Namun, semasa dalam perjalanan tersebut, dia didatangi segerombolan tebuan yang menyengatnya serta-merta.

Powell yang mengesyaki petani lain mengusik sarang tebuan itu, bertindak melarikan diri dengan pulang ke rumahnya semula.

Iklan

Bagaimanapun, nasibnya tidak baik apabila tebuan itu seperti ingin 'membalas dendam' dengan mengikutnya balik. Keadaan bertambah teruk apabila serangga berbisa tersebut turut menyengat isterinya.

"Saya dapat merasakan serangga itu masuk sehingga dalam baju dan seluar dan menyengat di seluruh anggota badan," katanya.

Iklan

Powell bernasib baik apabila jirannya yang berada berhampiran membawanya ke Hospital Peringatan Perang Brecon untuk menerima rawatan lanjut.

"Kakitangan memberitahu saya, jika terlewat lima minit, saya berkemungkinan meninggal dunia akibat bisa sengatan tebuan tersebut," tambahnya.

Seminggu selepas kejadian, Powell menceritakan dia masih merasai kesakitan akibat sengatan tebuan itu walaupun tanpa makan ubat tahan sakit.

Malah, dia tidak berani keluar rumah dan trauma kerana bimbang akan diserang serangga merbahaya itu lagi.

"Saya dan isteri mengira jumlah sengatan di sebelah punggung sebanyak 50 sengatan, 20 di belakang kepala, 20 lagi di leher dan 80 di setiap lengan dan setiap sengatan mempunyai tanda lebam berwarna unggu.

"Setiap hari badan saya akan menjadi lemah kerana tidak dapat tidur dengan tenteram akibat sengatan itu,' tambahnya. - Agensi