KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini diteruskan pagi ini selepas ditangguhkan kira-kira 5 pagi tadi.
Tinjauan Bernama di lokasi pada 8 pagi mendapati pasukan SAR terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Mineral dan Geosains sudah berada di lokasi kejadian dan kawasan sekitar, dipercayai untuk meneruskan operasi.
Iklan
Iklan
Difahamkan operasi SAR yang memasuki hari kelapan hari ini masih memfokuskan kepada usaha untuk merungkai ‘backlog’ melibatkan timbunan sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian yang dikesan semalam.
Ini susulan selaman pada 4 pagi tadi oleh dua penyelam skuba dari Akademi JBPM Wilayah Utara sekali lagi tidak berhasil selepas hampir setengah jam selaman.
Pemerhatian Bernama di sekitar lokasi juga mendapati hanya premis perniagaan yang berada di bangunan sahaja banyak dibuka manakala peniaga yang menggunakan khemah atau gerai tepi jalan tidak beroperasi.
Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa. - Bernama