Bangunan asrama lelaki MRSM Besut terbakar, 58 pelajar terselamat

Iklan
58 pelajar terselamat dalam kebakaran melibatkan empat buah bilik di tingkat satu asrama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra di Besut.

BESUT - Seramai 58 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra dekat sini terselamat dalam kebakaran membabitkan bangunan asrama lelaki pada malam Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, kebakaran berlaku sekitar jam 10.44 malam itu melibatkan empat buah bilik di tingkat satu asrama terbabit.

Iklan
Iklan

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 malam sebelum mengerahkan 20 anggota serta pegawai bersama dua jentera dari BBP Besut dan BBP Jertih ke lokasi kejadian.

"Kita juga sekali lagi dihubungi dan diberitahu bahawa api tidak berjaya dipadam oleh pelajar dan pihak asrama menyebabkan ia semakin marak," katanya pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, Muhammad Azrul Izzham berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran terbabit.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di melibatkan empat buah bilik di tingkat satu asrama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra di Besut.

"Sebaik pihak bomba tiba, kesemua mangsa berjaya keluar daripada bangunan itu.

Iklan

"Pasukan kita mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit untuk mengawal dan memadamkan sepenuhnya api di kawasan terlibat.

"Selain itu kita terpaksa memecahkan siling bangunan untuk memastikan kebakaran tersebut telah dipadam sepenuhnya terutama di bahagian bumbung bangunan," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.