Jelajah Antirasuah MRSM sempurna dilaksana di Perak

Iklan
Sebahagian peserta Program Jelajah Antirasuah di MRSM Ulul Albab Felda Trolak di sini pada Khamis.

TANJUNG MALIM - Program Jelajah Antirasuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) telah lengkap dilaksanakan di seluruh MRSM di Perak melibatkan tiga siri keseluruhannya.

Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Sofi Abdullah berkata, jelajah di Perak dimulakan sejak April lalu dan berakhir pada 29 Ogos 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bermula di MRSM Bagan Datuk program kerjasama di antara Unit Integriti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan Rasuah Busters berjaya melengkap jelajah di lokasi terakhir iaitu di MRSM Ulul Albab Felda, Trolak di sini.

"Kita telah berjumpa dengan semua pelajar, staf dan guru di MRSM untuk tujuan kita bagi kesedaran dan juga pengukuhan berkaitan dengan integriti dan antirasuah. Ini merupakan komitmen daripada pihak atasan Mara itu sendiri yang memberikan kepercayaan kepada Unit Integriti Mara untuk bekerjasama dengan pihak Rasuah Busters bagi melaksanakan program ini.

Iklan

"Saya nampak sangat penting untuk kita beri pendedahan kepada pelajar MRSM ini kerana mereka akan jadi orang-orang penting nanti di banyak sektor sama ada di dalam kerajaan atau swasta selepas tamat pengajian. Kesedaran awal itu penting sangat agar mereka nampak dan faham apa itu rasuah dan kenapa ia sangat bahaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Antirasuah di MRSM Ulul Albab Felda Trolak di sini pada Khamis.

Iklan

Ahmad Sofi berkata, pendedahan awal mengenai bahaya rasuah itu penting bagi membolehkan mereka menangkis sebarang elemen menjurus kepada perbuatan rasuah.

Beliau berkata, apabila mereka berada di peringkat universiti dan masuk ke alam pekerjaan ia sudah ditanam dalam minda unsur-unsur rasuah itu.

Tambahnya, selepas selesai di Perak, jelajah tersebut akan diteruskan ke utara tanah air melibatkan Pulau Pinang dan Kedah pada September nanti.

Dalam pada itu, Pengetua MRSM Ulul Albab Felda Trolak, Zeidi Zakaria menyifatkan program Jelajah Antirasuah itu merupakan satu inisiatif yang amat baik.

"Keuntungan rasuah ini untuk jangka masa pendek bagi orang yang menerima tetapi untuk jangka panjang bukan setakat merosakkan masa depan keluarga tetapi masa depan masyarakat dan negara," katanya.

Menurut Zeidi, program kesedaran terhadap bahaya rasuah itu tidak akan terhenti setakat jelajah tersebut sebaliknya pendedahan serta peringatan tentang masalah itu akan diberikan secara berterusan secara tidak formal oleh guru-guru.

Jelasnya, selain itu program antirasuah boleh diadakan di MRSM secara berkala untuk memastikan pelajar dan warga maktab sentiasa diingatkan tentang perbuatan jenayah tersebut.

Beliau berkata, jelajah yang diadakan di MRSM Ulul Albab Felda Trolak disertai seramai 106 orang guru guru dan staf serta seramai 617 pelajar dari Tingkatan 1 hingga 4.

Hadir sama pada program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Dalam pada itu jumlah keseluruhan peserta terdiri daripada pelajar dan warga MRSM sejak siri pertama hingga terakhir seramai 7,501 melibatkan lapan buah MRSM iaitu MRSM Bagan Datuk, MRSM Pasir Salak, MRSM Parit, MRSM Taiping, MRSM Sultan Azlan Shah, MRSM Pengkalan Hulu, MRSM Gerik dan MRSM Ulul Albab Felda Trolak.

Sebahagian aktiviti yang dilaksanakan sempena Program Jelajah Antirasuah di MRSM Ulul Albab Felda Trolak di sini pada Khamis.


Sementara itu, pelajar Tingkatan 4, MRSM Ulul Albab Felda Trolak, Tuan Adriz Danish Tuan Hazli, 16, mengakui program itu banyak memberi manfaat kepada pelajar khususnya dalam memberi kesedaran tentang bahayanya rasuah.

"Sebagai bakal pemimpin, sudah pastinya kami di sini akan sentiasa berwaspada terhadap segala unsur-unsur rasuah yang boleh merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kesedaran ini harus diperluaskan lagi kepada seluruh rakyat terutama golongan muda," katanya.

Seorang lagi pelajar, Yasmin Nur Khayra Yusri, 16, berkata, sebelum ini dia hanya pernah dengar perkataan rasuah namun tidak menyangka betapa bahayanya rasuah ini.

"Jadi dengan adanya ilmu dan pendedahan mengenai jenayah ini, dapatlah kami sentiasa berwaspada dan cakna tentang kesan jika perbuatan rasuah ini berleluasa.

"Saya akan gunakan peluang serta ilmu yang ada ini untuk berkongsi dengan rakan-rakan serta ahli keluarga bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan rasuah," ujarnya.