ARAU - Seorang pengusaha tanaman tebu tergamam apabila hanya mampu melihat lebih 20,000 pokok tebunya hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Hutan Lembah.
Jaafar Hamid ketika ditemui menahan sebak mengenangkan tanaman tebu yang diusahakan sejak 2018 yang turut memberi pulangan hasil kepadanya musnah sekelip mata.
Menurutnya, dia hanya mengetahui ladang miliknya terbakar ketika mahu menuai hasil pagi semalam.
"Saya ke ladang sebab nak ambil tebu untuk dijual di pasar malam tapi bila tengok kesan api dan pokok yang dah terbakar, saya jadi tergamam.
"Saya hanya mampu tengok saja dan tak boleh buat apa dah sebab masa sampai tu memang api dah rosakkan semua kawasan," katanya.
Menurut Jaafar, selain tebu, kebakaran yang dipercayai berlaku tiga hari lalu turut memusnahkan dua mesin bajak miliknya.
Akibat kebakaran itu, Jaafar mengalami kerugian mencecah RM200,000, manakala dua mesin bajak dianggarkan RM30,000.
"Saya runsing memikirkan sumber pendapatan saya kerana tanaman tebu inilah yang membantu saya dan keluarga meneruskan hidup," katanya.
Ditanya punca kebakaran, Jaafar berkata, ketika menyiasat laluan api, ia didapati dari kebun berdekatan, namun tiada pengesahan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, dia pasrah dengan kejadian tersebut dan merancang untuk membuat penanaman semula tebu di kawasan berkenaan.
"Reda sahajalah dengan apa yang berlaku dan sekarang saya tengah fikir usaha untuk menebang kesemua tebu ini dan menanam semula dalam tempoh terdekat," katanya.