PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyuarakan hasratnya agar kumpulan penyokong tegar pasukan negara Ultras Malaya mempertimbangkan keputusan mereka untuk memboikot Pestabola Merdeka 2024 yang bermula minggu depan.
Jurulatih dari Sepanyol itu menekankan kepentingan sokongan peminat dan berharap kesemua mereka dapat bersatu dan menyokong skuad itu pada kejohanan penting tersebut.
Vicente juga menegaskan bahawa meskipun tanpa Ultras Malaya, anak buahnya akan kekal fokus pada sasaran utama iaitu untuk menampilkan permainan terbaik sekali gus membuatkan mereka yang tidak hadir menyesal kerana terlepas perlawanan itu.
"Pada saya pastinya saya mahu Ultras Malaya datang dan mahu semua orang datang, saya tidak suka berada dalam situasi orang tidak mahu datang dan menyokong pasukan...jadi satu-satunya yang boleh kami lakukan ialah membuat persiapan dengan baik dan bermain sebaiknya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Malaysia akan menentang Filipina pada separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 Di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 4 Sept ini, yang juga merupakan debut Vicente sebagai jurulatih pasukan negara selepas dilantik bagi menggantikan Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan bulan lepas.
Satu lagi aksi separuh akhir kejohanan itu bakal menyaksikan juara bertahan Tajikistan berdepan Lubnan, pada tarikh dan venue sama.
Boikot dirancang oleh kumpulan Ultras Malaya itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu termasuk berkaitan pengurusan pasukan kebangsaan, kepincangan dalam FAM dan perlawanan Liga Malaysia.
Sementara itu, pemain sayap, Mohamad Faisal Abdul Halim yang beransur pulih selepas menjadi mangsa simbahan asid Mei lepas, melihat tindakan boikot sebagai sesuatu yang tidak positif.
"Saya rasa pasukan kebangsaan perlukan sokongan, dalam keadaan sekarang banyak benda yang berlaku kebelakangan ini, jurulatih Kim (Pan Gon) tinggalkan kita, sekarang kita ada Pau (Vicente) kita perlu sokong dia, perlu sokong FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) terutama Datuk Hamidin (Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin).
"Sudah tentu pemain-pemain akan jalankan tanggungjawab seperti biasa, sama ada peminat datang atau tak sebagai pemain kita kena bermain, insya-Allah kemungkinan saya akan turun tengok (di stadium),” kata Mohamad Faisal yang sedang berjuang untuk mencapai prestasi optimum agar dapat kembali bersama pasukan negara.
Dalam pada itu, Hamidin berkata:"Saya menyeru kepada Ultras Malaya yang kita tahu adalah penyokong tegar Harimau Malaya, inilah masanya untuk menyokong pasukan Malaysia kerana untuk kita memperbaiki ranking kita dan seterusnya kalau dapat kita menjuarai Pestabola Merdeka 2024." - Bernama