PUTRAJAYA - Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 berjaya menyentuh jiwa peserta terutama generasi muda kerana setiap penjelasan yang diberikan menerusi tadabbur al-Quran berkait dengan kehidupan seharian mereka.
Exco Puteri UMNO, Firza Syafiqa Mohd Puzi berkata, ini kerana biasanya daripada zaman kanak-kanak mereka hanya diajar membaca al-Quran tanpa kefahaman yang jelas mengenai maksud ayat suci itu.
Menurutnya, kebanyakan orang muda berfikir dengan membaca al-Quran sudah memadai buat mereka.
"Saya rasa hampir 70 hingga 80 peratus peserta boleh baca al-Quran tetapi kurang kefahaman maksud ayatnya. Jadi, hari ini bila Malaysia #QuranHour turut bertadabbur saya rasa sangat bagus sebab kita boleh faham ayat al-Quran.
"Sebab itu saya kata ia menyentuh jiwa. Saya sendiri terpukul kerana apa yang diterjemahkan sangat berkaitan dengan kehidupan kita sebagai manusia seterusnya dapat membina masyarakat yang beradab dan tinggi sahsiahnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Program yang bertemakan 'Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara' itu mengambil panduan daripada surah al-Jumu'ah dan al-Hujurat.
Tambah Firza Syafiqa, tema yang digunakan dalam program itu sangat bersesuaian dalam usaha mengajak masyarakat memahami Rukun Negara seterusnya memaknai erti kemerdekaan.
"Kita kena betul- betul faham erti kemerdekaan sepertimana yang diperjelaskan menerusi sesi tadabbur. Dengan fakta yang diberikan dapat menarik masyarakat khususnya generasi muda menjiwai kemerdekaan.
"Sebab generasi sekarang lebih sukakan fakta, tanpa maklumat yang jelas sukar untuk menarik perhatian mereka. Jadi saya harap program ini akan terus berkembang pada masa akan datang," ujarnya.