KAJANG – Tindakan seorang pemain badminton profesional memukul anjing baka Husky di balkoni rumahnya bulan lalu, mengundang padah apabila dia didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Samuel Lee, 21, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid.
Mahkamah memerintahkan dia selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memukul haiwan berkenaan dengan tangan secara bertubi-tubi di balkoni sebuah unit kondominium di sini antara jam 12.09 hingga 12.19 tengah malam, 1 Julai lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tindakan kejam OKS memukul anjing itu dirakam oleh jiran kemudian tular di media sosial.
Susulan kejadian itu, pada 2 Julai, pihak penyelamat haiwan mengambil anjing tersebut untuk rawatan di klinik veterinar.
Hasil pemeriksaan mendapati, ia mengalami trauma dan ketakutan ekstrem.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan OKS dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.
"Ini kerana perbuatannya kejam kerana memukul hingga anjing itu mengalami kemurungan.
"Kes ini telah mendapat liputan meluas dan menimbulkan kemarahan awam, maka tindakan serius perlu dibuat,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, S Rajashree yang mewakili OKS, merayu anak guamnya dikenakan denda yang minimum kerana perlu menanggung keluarga.
Pada 4 Julai lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengambil tindakan susulan video tular berhubung seorang lelaki disyaki mendera seekor anjing Husky di sebuah kondominium di sini.