BEIRUT - Kumpulan Hizbullah Lubnan berkata pada Khamis, pejuangnya melancarkan operasi ke atas 10 tapak tentera Israel di sepanjang sempadan Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan udara dan artileri ke atas beberapa bandar di selatan Lubnan.
Menurut kenyataan Hizbullah, pejuangnya menyasarkan tentera Israel berhampiran penempatan Kfar Yuval dan berek tentera Zarit di utara Israel dengan senjata pelancar roket.
Kumpulan itu kemudian memaklumkan di Telegram bahawa operatifnya menyerang tentera Israel berhampiran berek tentera Doviv dan wilayah Tallet Al-Tayhat dengan senjata serupa.
Hizbullah turut menyasarkan tapak Al Samaqa dan Ruwaisat Al-Alam di bukit Kfarchouba yang diduduki dengan senjata pelancar roket dan menyerang tapak tentera Bayad Blida secara langsung.
Selain itu, Hizbullah melaporkan menyasarkan bangunan yang digunakan oleh tentera Israel di bandar Metula dan Manara 'dengan senjata yang sesuai'.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, kumpulan itu mengumumkan ia melancarkan serangan dron ke atas ibu pejabat Briged Golan 210 di pangkalan tentera Nafah, yang mengenai sasaran dengan tepat.
Radio Tentera Israel melaporkan letupan dron di Dataran Tinggi Golan Syria yang diduduki, tanpa maklumat mengenai korban jiwa.
Agensi Berita Nasional rasmi Lubnan berkata artileri Israel membedil pinggir bandar Tayr Harfa di daerah Bint Jbeil.
Agensi itu berkata, serangan udara Israel yang sengit menyasarkan bandar Kfarkela awal pagi Khamis, mengakibatkan kemusnahan sejumlah besar rumah dan kedai serta merobohkan seluruh kawasan kejiranan, tanpa melaporkan korban jiwa.
Agensi itu juga melaporkan artileri Israel menyasarkan pinggir kampung Deir Mimas, menyebabkan kerosakan pada panel solar, dan pesawat tempur Israel melakukan serangan menyasarkan kawasan tinggi Jabal Al Rehan.
Selain itu, agensi Lubnan berkata pesawat tempur Israel melanggar sekatan bunyi dua kali pada altitud rendah di kawasan Sidon dan Zahrani, sampai ke Beirut dan pinggir bandarnya.
Peningkatan ketegangan itu turut dipengaruhi tindakan kejam tentera Israel menyerang Semenanjung Gaza, yang telah membunuh lebih 40,600 rakyat Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.
Sejak serangan Israel, sebahagian besar wilayah itu musnah di tengah-tengah sekatan yang menjejaskan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan kebanyakan penduduk yang hilang tempat tinggal terdedah kepada penyakit. - Bernama-Anadolu