Kegiatan 'swinger' tumpas, 36 individu ditahan

Iklan
Fadil (kanan) pada sidang media di Bukit Aman, pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Seramai 36 individu termasuk penjawat awam dan penuntut universiti ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau 'swinger' yang dipromosi secara dalam talian.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua individu itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Puchong, Selangor pada Ahad dan Selasa lalu.

Iklan
Iklan

"Dua daripada 36 individu yang ditahan adalah pemilik laman sesawang yang dikesan mempromosi kegiatan persundalan secara dalam talian dan mampu meraih 147,000 pelanggan atau 'subscriber'," katanya pada sidang media di Bukit Aman, pada Jumaat.

Fadil berkata, serbuan dilakukan susulan risikan sejak Jun lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Iklan

"Kita kemudian mengesan satu kumpulan yang menganjurkan aktiviti ini (seks bebas bertukar pasangan) serta mempromosikan aktiviti persundalan itu dan membentuk komuniti seks bebas bagi tujuan keseronokan dan meraih keuntungan," katanya.

Beliau berkata, dua serbuan dilakukan dengan serbuan pertama di sebuah kondominium di Mont Kiara, Sentul di sini, pada jam 8.30 malam, Ahad lalu.

Iklan

"Kita menahan 34 individu terdiri warga tempatan dan asing. Mereka terdiri 18 wanita dan 11 lelaki tempatan serta lima warga asing dari Perancis, China, Nigeria, Republik Czech dan Filipina berusia antara 19 hingga 41 tahun," katanya.

"Dua daripadanya pula mempunyai rekod jenayah atas kesalahan mencuri, mencederakan orang tanpa senjata dan ugutan jenayah," katanya.

Dalam operasi kedua pada jam 2.15 petang Selasa lalu, Fadil berkata polis menyerbu sebuah kondominium di Puchong.

"Kita menahan dua lelaki masing-masing warga Singapura dan warga tempatan dipercayai berperanan sebagai pemilik laman sesawang, penganjur aktiviti persundalan dan juga pemilik akaun bank keldai yang menerima bayaran daripada pelanggan.

"Polis turut merampas sejumlah wang tunai, peralatan komputer, telefon bimbit dan peralatan seks," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu dengan berselindung di sebalik laman sesawang yang menawarkan khidmat mencari kenalan dan mencari keuntungan.

"Kita mendapati setakat ini 'subsriber' mereka melalui akaun keldai yang diwujudkan mengumpul 147,000 ahli dan kebanyakannya rakyat Malaysia. Ini cukup membimbangkan kita," katanya.

Beliau berkata, bayaran untuk langganan akaun dibuat melalui kaedah pembayaran dalam talian ke satu akaun bank milik seorang lelaki tempatan dipercayai akaun keldai.

"Untuk menjadi ahli, subscriber perlu membayar RM388 dan untuk membentuk komuniti melakukan aktiviti seks bebas dikenakan yuran penyertaan RM400 seorang.

"Bayaran RM350 pula akan dikenakan kepada ahli yang mahu menyertai aktiviti bersama pasangan dan mereka bersama-sama boleh menyertai aktiviti 'swing' (bertukar pasangan seks)," katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata, siasatan mendapati penganjur akan kerap menukar lokasi aktiviti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, penduduk setempat dan pengurusan kondominium.

"Aktiviti akan dimaklumkan sehari sebelum tarikh ditetapkan dan penganjur akan menyediakan tentatif kepada peserta seperti sesi suai kenal seterusnya menjalankan aktiviti seks secara berkumpulan dalam tiga bilik berasingan.

"Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan iaitu mempromosi, mengiklankan, menerbitkan dan menawarkan khidmat persundalan serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu memberi orang lain menggunakan akaun bank.

"Selain itu, Seksyen 377D Kanun Keseksaan (melanggar kesopanan dan perbuatan kelucahan melampau), Seksyen 377A Kanun Keseksaan (melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie) serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah)," katanya.