Pembangunan Kampong Bharu ambil kira hak, kepentingan Melayu: Agong

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah baginda selepas selesai Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Melawati hari ini.
 - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kampong Bharu, yang juga merupakan ikon di Kuala Lumpur dibangunkan serta dimajukan seiring dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu.

Dalam titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini hari ini, Seri Paduka memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan semula Kampong Bharu menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti.

Iklan
Iklan

Seri Paduka dalam titahnya menyuarakan harapan agar pembangunan semula Kampong Bharu dapat direalisasikan dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu memandangkan Kampong Bharu merupakan simbol penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Seri Paduka bertitah, baginda telah disembah maklum bahawa rancangan pembangunan semula Kampong Bharu adalah untuk memperkasakan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur.

Iklan

"Menerusi pembangunan semula ini, hak milik tanah akan kekal kepada orang Melayu. Selain itu warisan seni bina dan budaya Melayu akan terus kekal dan diperkasakan," titah Seri Paduka.

Dalam titahnya, Seri Paduka menzahirkan rasa amat gembira dan bersyukur melihat usaha dan komitmen kerajaan dalam membangunkan Wilayah Persekutuan.

Iklan

Titahnya, pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan pelbagai kategori kumpulan sasar khususnya rakyat dari kumpulan B40, yang bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat.

"Antara inisiatif yang dilihat memberikan impak secara terus kepada rakyat adalah perkhidmatan bas percuma Go-KL, pemilikan rumah kepada golongan asnaf serta kemudahan penginapan dengan kadar sewaan yang rendah bagi golongan B40 yang berstatus bujang yang baru berhijrah mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur.

"Beta berharap inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan dapat dinikmati oleh rakyat Wilayah Persekutuan sekaliannya, tanpa mengira bangsa mahupun agama," titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar pembangunan sukan tidak dilupakan kerana ia merupakan wadah terbaik dalam menyatukan dan menyihatkan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama.

"Beta berharap agar program-program sukan di Wilayah Persekutuan terus diperkasa dan lebih ramai atlet daripada Wilayah Persekutuan dapat dilahirkan untuk mengharum nama negara di persada antarabangsa," titah Seri Paduka.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Seri Paduka turut menitahkan para penerima darjah kebesaran bintang dan pingat Wilayah Persekutuan untuk menjaga maruah, integriti dan nama baik diri bagi mengekalkan kemuliaan dan martabat anugerah yang dikurniakan.

Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.- Bernama