Fahami sensitiviti untuk keharmonian antara kaum - Lam Thye

Iklan
Lam Thye

KUALA LUMPUR - Semua rakyat Malaysia mesti sentiasa berwaspada dan sedar akan sensitiviti masyarakat berbilang agama dan budaya dalam negara demi keharmonian antara kaum, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, seluruh rakyat mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang merupakan kunci kepada pembinaan negara.

Iklan
Iklan

Lam Thye berkata, tugas paling mendesak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, adalah memastikan keharmonian kaum dan agama serta menolak segala bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama.

Beliau berkata, aset terbesar negara ialah kepelbagaian, dan beliau menggesa semua rakyat Malaysia untuk menghayati latar belakang dan budaya yang unik, memupuk persekitaran saling menghormati, persefahaman dan keterangkuman untuk meneruskan tugas membina masyarakat yang harmoni.

Iklan

"Semasa kita menyambut Hari Kebangsaan yang akan datang ini, saya ingin mengulangi sekali lagi kepentingan Rukun Negara yang seharusnya menjadi panduan berterusan kita untuk pembinaan negara,” katanya.

Memandangkan pendidikan berkualiti adalah asas kepada kemajuan, Lam Thye berkata adalah penting bagi negara mengekalkan standard pendidikan yang tinggi untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada sumber dan peluang yang diperlukan untuk berjaya.

Iklan

"Untuk meningkatkan ekonomi kita, kita mesti memupuk persekitaran yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi, inovasi dan keusahawanan serta memerangi rasuah di mana-mana sahaja,” katanya. - Bernama