KUALA LUMPUR - Stesen pam di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini dimasuki dua kali hari ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memeriksa sisa kumbahan dan menjejaki sebarang petunjuk kepada pencarian mangsa tanah jerlus.
Tinjauan Bernama mendapati anggota JBPM mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) berwarna putih berserta helmet pada 12 tengah hari dan 3.35 petang.
Setiap pemeriksaan dilakukan anggota terlibat hampir 30 minit bagi mencari, mengesan dan mengenal pasti keberadaan mangsa sekiranya wanita 48 tahun itu berada di ‘end point’ atau lokasi terakhir keberangkalian ditemui.
Bernama difahamkan pemeriksaan akan terus dilakukan dua kali sehari selepas ini hingga mangsa dijumpai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di loji itu hari ini ditangguhkan pada 4.45 petang dan akan bersambung esok.
Jumaat lepas, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian. - Bernama