SHAH ALAM - Rakyat Malaysia digesa untuk kembali kepada keazaman kolektif tunggal yang pernah membebaskan negara daripada penjajahan lebih 60 tahun lalu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gesaan tersebut dilakukan agar ia sekali lagi menjadi senjata paling ampuh dalam memastikan kemerdekaan negara dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
"Pas mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-67 kepada semua rakyat Malaysia dengan harapan sambutan tahun ini mengimbau ingatan kepada keazaman kolektif.
Tambah Takiyuddin, wujud kemungkinan tindak-tanduk yang dipamerkan kini akan merungkai teras-teras yang mengikat rakyat Malaysia dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat sekali gus meranapkan legasi memori yang memainkan peranan besar dalam membentuk identiti nasional.
Jelasnya, hal itu akan terjadi jika generasi baharu tidak memiliki kesedaran dan keinsafan yang mendalam terhadap idea besar yang melahirkan negara ini.
Beliau berkata, kecenderungan ke arah itu terlalu menonjol dan boleh dilihat atau dibaca dengan jelas dalam naratif di ruang awam terutamanya dalam forum-forum maya.
"Tanpa usaha keras dan bersungguh-sungguh untuk membanterasnya, perpaduan yang menjadi benteng penting kemerdekaan sesebuah negara akan tumbang menyembah bumi.
"Semua harapan serta cita-cita murni bangsa yang bebas dan bermaruah juga akan kecundang,” ujar beliau.
Menurut Takiyuddin, sebagai komuniti politik yang dibayangkan, kelangsungan hayatnya bergantung kepada anggota tersebut mengongsi dan mendukung imej bangsa berkenaan.