Merdeka lebih bermakna jika rakyat tidak dibebani kos sara hidup

Iklan
Muhyiddin

SHAH ALAM - Makna kemerdekaan akan lebih bermakna apabila rakyat bebas daripada kemiskinan dan tidak dibebani dengan kos sara hidup yang mencengkam.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel banyak memberi kesan berantai kepada kenaikan kos perkhidmatan dan harga barangan keperluan asas.

Iklan
Iklan

"Keadaan ini juga mendorong kepada kenaikan kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras negara kepada 1.9 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 1.8 peratus pada separuh pertama.

"Situasi itu jika tidak ditangani akan terus menekan kehidupan rakyat yang selama ini sudah dihimpit dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Jumaat.

Iklan

Sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-67, beliau turut mengingatkan agar jasa pemimpin dan pejuang terdahulu yang memerdekakan tanah air untuk tidak dilupakan.

"Marilah kita pertahankan kemerdekaan ini dengan iltizam dan semangat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.

Iklan

"Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-67 kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2024. Merdeka! Merdeka! Merdeka!” ujarnya.