Raikan perpaduan sebagai sebuah negara majmuk - Amirudin Shari

Iklan
Amirudin Foto Fail Bernama

PIMPINAN pentadbiran awam, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, hadirin hadirat yang saya hormati sekalian.

Dalam tempoh lebih kurang 30 minit, sekali lagi kita akan meraikan hari yang penuh bermakna untuk seluruh rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-67, istilah dan makna ‘Merdeka’ memiliki makna yang lebih dalam berbanding sekadar persoalan dibebaskan dari cengkaman penjajahan atau penindasan asing.

Merdeka juga bererti bebas dari sebarang bentuk kezaliman dan penindasan dalam apa jua bentuk dan negara dipacu ke arah baru menuju keadilan, kebebasan, demokrasi dan kemuliaan insan.

Iklan

Setelah 67 tahun merdeka daripada penjajahan sewajarnya kita meraikan perpaduan sebagai ciri utama sebuah negara majmuk, sebaliknya masih ada yang membuat makar untuk memecahbelahkan masyarakat.

Kerajaan Perpaduan bakal melewati umur 22 bulan tidak lama lagi. Kita sedang menyaksikan konsolidasi pentadbiran dan penambahbaikan polisi yang menyeluruh. Manakala itu kehangatan kestabilan, ketenangan serta kesentosaan telah menjalar sekaligus menerbitkan keyakinan di semua peringkat lapisan masyarakat.

Iklan

Pada masa yang sama, nama Malaysia sudah mula dibincangkan oleh pihak di luar sana terutamanya dalam konteks ekonomi dan geopolitik.

Ini berbeza dengan beberapa tahun lalu apabila nama baik negara tercalar akibat beberapa peristiwa dan siri yang menyebabkan keyakinan masyarakat luar terhadap Malaysia mengalami impak kurang elok.

Hadirin hadirat yang saya hormati,

Tanggungjawab dan peranan pemimpin politik sewajarnya menjernihkan keadaan ini. Namun terdapat segelintir daripada mereka yang mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeksploitasi isu-isu sensitif untuk kepentingan mereka sendiri.

Ada yang tidak mampu untuk move on dari makar yang mereka rekayasa sebelum ini. Bagaikan pasir jerlus, perasaan iri hati dan gagal menghayati serti redha terus menerus menelan mereka sehinggakan perbuatan atau gerakan politik mereka menjadi haru biru serta membelakangkan kepentingan nasional.

Kesannya, setelah 67 tahun Merdeka, masih berlaku provokasi perkauman, hasutan yang menjurus mempertikaikan kewibawaan institusi negara termasuklah institusi Raja Raja Melayu.

Menang kalah dalam politik itu biasa. Menjadi amalan untuk parti-parti politik tampil ke hadapan dan menawarkan khidmat berdasarkan weltanschauung ataupun worldview masing-masing.

Kemudian, rakyat memilih berdasarkan sistem demokrasi berparlimen negara dan pihak yang berjaya meyakini majoriti rakyat akan diberikan amanah mentadbir.

Namun, kesukaran beberapa pihak untuk move on mengingatkan saya kepada watak Raja Kechil yang mengaku sebagai anakanda kepada Sultan Mahmud II Marhum Mangkat DiJulang. Raja Kechil mencetuskan huru hara dan menggugat keharmonian negara semata-mata mahu nafsu untuk berkuasa hatta sanggup meminta Belanda menyokong beliau.

Golongan ini yang seperti hilang sudah karamah diri, tanpa segan silu menuding mereka yang lain sebagai pengkhianat dan pembelot. Hilang sudah senjata untuk berhujah, mereka memperalat sentimen perkauman sempit demi laba politik semata-mata. Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna Kemerdekaan?

Namun suara-suara melampau berbaur kebencian dan yang bersifat tidak toleran tidak akan berupaya menenggelamkan jiwa merdeka, kesederhanaan dan keterbukaan.

Kekalutan yang ditimbulkan golongan pelampau serta tidak bertanggungjawab di negara ini menuntut kita untuk kembali menyelami makna sebuah Kemerdekaan dan erti sebuah perjuangan.

Lebih dua ribu tahun yang lalu, Brutus bertanya warga Kota Rom"siapakah yang begitu hina sehingga mahu hidup sebagai hamba?”

Perlawanan di antara Brutus dengan Caesar adalah pertentangan di antara jiwa merdeka melawan nafsu mahu memiliki kekuasan tidak terbatas.

Oleh itu kita menginsafi hanya bangsa yang pernah melalui gelita penjajahan akan mengerti makna cahaya kemerdekaan. Hanya diri yang pernah kebebasannya diragut akan menghargai nilai kebebasan. Jiwa merdeka tidak akan terbabas melampau, bahkan akan membawa kemakmuran di sekeliling mereka.

Janganlah pula keliru di antara jiwa merdeka dengan serakah anarkis.

Jiwa merdeka hadir dari keheningan rohani dan kemahuan untuk membawa islah mastato’tum. Jiwa merdeka menginsafi bahawa untuk menjayakan islah atau perubahan ini, kita amat memerlukan tawfiq Allah SWT.

Allah SWT berfirman:ْ

نِإُدﯾِرُ أﱠﻻِ إَحَ ﻼْ ﺻِْ ﻹاﺎَﻣُْتﻌََطﺗْﺳاۚﺎَﻣَ وﻲِﻘﯾِﻓَْوﺗﱠﻻِ إِﮫـﱠ ﻠﻟﺎِﺑِۚﮫْﯾَﻠَﻋُْتﻠﱠ ﻛَ َوﺗِﮫْﯾَﻟإِوَُبﯾِ ﻧُأ

Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh tawfiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali. (Surah Hud: ayat 88)

Justeru, kita memerlukan jiwa-jiwa merdeka yang ada di Selangor untuk memastikan kejayaan Kerajaan Perpaduan baik di negeri mahupun di peringkat Persekutuan. Kejayaan yang dimaksudkan adalah kejayaan melaksanakan polisi-polisi yang bermanfaat buat rakyat jelata.

Jiwa merdeka adalah mereka yang tidak lagi mindanya tertawan mahupun minda yang dipasung kerana sengaja membiarkan dirinya jahil. Penyair terkenal Czeslaw Milosz (sebutan Chessloff Miwash) menerusi karyanya The Captive Mind menyimpulkan dengan berkesan bagaimana seseorang yang mampu berfikir membiarkan sahaja mudarat berleluasa dengan menafikan kebenaran atau fakta yang jelas tertera.

Saya yakin rakyat Selangor adalah rakyat yang jiwanya merdeka!

Mereka berkeyakinan hidup rukun aman damai dengan tetangga mereka yang berbilang kaum.

Rakyat Selangor sedar bahawa kemajmukan, diversity, adalah suatu kekuatan kerana kemajmukan adalah suatu fitrah, yang dengannya kita beroleh pelajaran dan ilmu, kita belajar dari kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Jiwa merdeka juga menginsafi untuk Negeri Selangor dan Malaysia mendaki martabat kegemilangan rule and order mestilah wujud.

Merdeka memberi pandangan dan mengkritik bukan bermakna kebebasan untuk mencetuskan huru-hara, penipuan atau hasutan.

Pada ketika terdapat pihak yang ingin memilih kaedah memecahbelahkan rakyat untuk menang dalam politik, orang Selangor orang bermaruah dan memahami bahawa kepelbagaian latar belakang etnik mahupun budaya bukan merupakan satu ruang untuk merenggangkan kebersamaan yang sudah lama terjalin di antara kita semua.

Dalam perlawanan Sukan Olimpik yang baru berlalu, kita sama-sama berkongsi rasa sedih Pearly dan Thinaah apabila mereka tewas di perlawanan separuh akhir sukan badminton.

Kita turut rasa bangga dengan pencapaian Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam meraih pingat gangsa dengan comeback yang begitu hebat meskipun berhadapan dengan 4 mata akhir.

Malah, kita mendalami kekecewaan Datuk Jijoe apabila pengadil bersikap berat sebelah, dan kita dipenuhi kemarahan dan rasa ditindas apabila Shah Firdaus yang hampir merampas pingat gangsa dilanggar oleh pembasikal dari Jepun.

Orang Selangor tidak memikir apa etnik atau fahaman agama apabila menyokong para atlet tanah air kerana tanah tumpahnya darahku, kita mahu mendengar lagu Negaraku dimainkan di Majlis Sukan Kemuncak Dunia, kita mahu melihat atlet negara menaiki langkah teratas podium dan ingin menyaksikan Jalur Gemilang berada di kedudukan tengah, berkibar tinggi kerana Kita Malaysia.

Pada masa yang sama, kita turut bangga dengan prestasi pasukan negeri yang berjaya memasuki peringkat akhir dalam Piala FA baru-baru ini.

Ya, kita tewas di peringkat akhir tetapi saya bagi pihak negeri mengucapkan syabas kepada pasukan negeri atas usaha dan sikap yang ditampilkan.

Selangor mengangkat dan menghormati semangat kesukanan dan persaingan. Kita tidak keterlaluan ataupun melampaui batas sebagaimana yang mungkin dibuat oleh pihak lain.

Jangan kita biarkan sukan dipolitikkan untuk kepentingan mana-mana pihak. Kemurnian sukan harus kita pelihara demi masa depan terutamanya bagi terus menyuntik semangat untuk anak-anak kita.

Di samping itu, bagi pihak Kerajaan Negeri, patik menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang bertitah supaya seluruh rakyat menjauhi perbuatan budaya hasad dengki, fitnah-memfitnah ataupun yang lain yang berniat memecahbelahkan rakyat.

Patik menjunjung kasih titah Tuanku Sultan yang berhasrat supaya rakyatnya bersama-sama memainkan peranan agar Malaysia menjadi negara berdaya saing, maju, dan makmur.

Oleh demikian menjelang 67 tahun kita mencapai Kemerdekaan, marilah kita bersama-sama beriltizam untuk:

-Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153

- Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

- Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau manakala melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

- Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri.

Orang Selangor bukan orang sembarangan. Kita sedar tanggungjawab kolektif untuk kita sama-sama mainkan peranan untuk memastikan ekonomi negeri bertambah maju. Kegagalan bukanlah satu opsyen untuk kita, kerana prestasi negara bersaling kait dengan pencapaian ekonomi negeri Selangor.

Moga usaha kita semua untuk memaknai erti Jiwa Merdeka dan sebuah Kemerdekaan diredhai dan diberkati hendaknya.

Dirgahayu Malaysia tanahairku.

Berikut adalah teks ucapan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor oleh Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor.