Lebih 600 orang 'glamping' di Putrajaya menanti sambutan Hari Kebangsaan

Iklan
Lebih 600 orang berkhemah di Putrajaya malam ini pada program Glamping Jiwa Merdeka 2024 bagi menantikan sambutan Hari Kebangsaan 2024. Foto Facebook

PUTRAJAYA - Berbumbungkan bulan dan bintang, lebih 600 orang berkhemah di sini malam ini pada program Glamping Jiwa Merdeka 2024 bagi menantikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 esok.

Bertapak di Taman Pancarona yang terletak kira-kira 700 meter dari Dataran Putrajaya, program julung kali anjuran bersama Jabatan Penerangan (Japen) dan Perbadanan Putrajaya itu diadakan untuk memberi ruang menunggu yang lebih selesa kepada orang ramai sebelum bermulanya acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan esok.

Iklan
Iklan

Berkonsepkan santai sambil glamping, peserta juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu patriotik oleh kumpulan PENTARAMA Japen dan tayangan filem Malbatt: Misi Bakara.

Program itu juga dilihat menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan dalam lapisan masyarakat dengan penganjuran beberapa aktiviti seperti kuiz kenegaraan, pertandingan mewarna Jiwa Merdeka buat kanak-kanak dan pertandingan menghias khemah dengan Jalur Gemilang.

Iklan

Tinjaun Bernama di tapak acara mendapati para peserta tiba seawal 4 petang tadi untuk memasang khemah yang rata-rata dihiasi dengan pelbagai dekorasi bersifat patriotik antaranya Jalur Gemilang, gambar bunga raya, serta belon nombor"67" sebagai melambangkan tempoh negara mencapai kemerdekaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut hadir pada malam ini bagi menyerahkan cenderahati kepada para peserta.

Iklan

Berkongsi pengalaman menyertai program itu, seorang pesara kerajaan Sarijah Saman, 60, berkata, ia memberi satu pengalaman menyambut Hari Kebangsaan yang berbeza dan semestinya tidak akan dapat dilupakan.

"Saya sangat seronok apabila dengar aktiviti ini akan diadakan. Apabila saya bekerja dahulu tidak ada masa nak sertai program macam ini, tetapi tahun ini alhamdulillah ada kesempatan, saya punya teruja sampai hampir sebulan saya buat persiapan," katanya yang hadir bersama ahli keluarga.

Sementara itu, seorang penggemar aktiviti berkhemah, Nurul Ain Matun Huda, 42, berkata, acara itu memberi peluang buat dirinya berkenalan dengan orang baharu terutamanya dengan mereka yang meminati aktiviti itu.

"Biasanya bagi 'kaki' camping, kami akan cari sungai atau gunung untuk dapat pengalaman outdoor, tetapi hari ini kita dapat berkumpul dengan satu minat yang lain iaitu untuk bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan," katanya. - Bernama