KUALA LUMPUR - Golongan muda di negara ini merupakan aset penting kepada negara dan perlu dididik dengan sebaiknya.
Malah mereka juga perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni supaya dapat mengambil alih kepimpinan negara.
Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Profesor Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, pelajar di UPTM sentiasa ditekankan bahawa mereka merupakan generasi pemimpin masa depan negara.
Sehubungan itu, katanya, warga pendidik di UPTM dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) sentiasa melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan pelajar di institusi peganjian tinggi tersebut.
"Itulah penegasan kita bahawa apabila kita mengajar, para pensyarah dan pihak pengurusan melihat pelajar, kami melihat mereka sebagai pemimpin kami di masa depan.
"Maka apabila mengajar, berkongsi ilmu, ilmu dikongsi itu dengan sehabis baik dan yang paling penting adalah kejayaan itu bukanlah setakat apabila sudah mendapat sijil atau pekerjaan.
"Paling penting adalah bagaimana hendak memberi balik kepada orang lain seperti diamalkan generasi terdahulu yang lebih prihatin dalam membantu golongan memerlukan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar: Cabaran Sosioekonomi Bumiputera Dalam Era Globalisasi yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Wacana itu turut menampilkan Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sdn Bhd, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan dikendalikan oleh Ismail Adnan sebagai moderator.
Dalam pada itu, Sharifah Syahirah berkata, selain nilai-nilai positif, warga pendidik di institusi itu turut menerapkan tanggungjawab besar mereka kepada negara.
Bukan hanya bumiputera
Selain itu, dalam wacana tersebut, beliau berkata, institusi pengajian tinggi itu bukan hanya untuk bumiputera semata-mata, tetapi dalam skop dan rangkuman lebih meluas iaitu bangsa Malaysia.
"Ini termasuklah kaum Cina, India serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak yang ada lebih 60 etnik dan kaum.
"Kita mengalu-alukan mereka semua untuk belajar di UPKM dan KPTM,” ujarnya.
Namun katanya, tumpuan diberikan kepada bumiputera kerana masih banyak perkara perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka dapat duduk sama tinggi dengan mempunyai pendapatan dan peluang setaraf kaum yang lain.