SHAH ALAM – Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 pada Sabtu, acara perarakan gilang-gemilang akan berlangsung di Dataran Putrajaya dengan perbarisan membabitkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.
Orang ramai sudah mula menyaksikan raptai penuh acara tersebut sejak Jumaat dengan kesemua peserta berpakaian lengkap dan berarak disepanjang lokasi tersebut.
Oleh kerana teruja untuk memeriahkan acara raptai berkenaan, kepala seorang kanak-kanak lelaki tersangkut di pagar besi sementara.
Kejadian tersebut meraih perhatian orang ramai dan video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @ida_shahidah itu telah tular dengan tontonan mencecah 1.1 juta.
Menerusi satu klip video, ternyata insiden tersebut turut menarik perhatian dua anggota polis bertugas dengan membantu kanak-kanak lelaki itu.
Kelihatan penjaga kepada kanak-kanak lelaki itu juga membantu mengeluarkan kepala kanak-kanak tersebut.
Rata-rata pengguna aplikasi media sosial itu turut terhibur dengan insiden terbabit dan menganggap kejadian lucu seperti itu selalu terjadi dalam acara besar seperti sambutan Hari Kemerdekaan.
"Tahun ini, kanak-kanak yang monopoli keceriaan sambuat merdeka kita," kata @SisLiza.
"Macam-macam hal la adik. Masa ini abang bomba diperlukan," tulis @Orked.
Bertemakan 'Malaysia Madani: Jiwa Merdeka', acara sambutan Hari Kebangsaan 2024 bakal mempersembahkan antaranya pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan deruan enjin jet pejuang seperti Sukhoi SU-30, F/A 18D Hornet dan Hawk MK 208.