KUALA LUMPUR - Enam perkara perlu diberikan tumpuan untuk melonjakkan sosioekonomi bumiputera khususnya dalam mendepani cabaran era globalisasi.
Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sdn Bhd, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata, untuk melahirkan generasi kebolehpasaran khususnya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan latihan kemahiran hendaklah dipertingkatkan.
Katanya, pengukuhan infrastruktur dan akses pasaran juga harus seiring dengan kepesatan globalisasi dan digital serta memfokuskan kepada teknologi dan inovasi.
"Perkara keempat, peningkatan dasar inklusif dan keseimbangan sosial perlu diberikan penekanan. Maksudnya jangan terlepas pandang mereka yang masih lagi perlukan bantuan.
"Pengurusan dan penilaian dasar harus lebih jelas dan telus. Ini adalah kelangsungan dari Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kini diteruskan bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35 ). Akhir sekali, libatkan diri dengan sektor swasta serta jalin kerjasama peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar: Cabaran Sosioekonomi Bumiputera Dalam Era Globalisasi pada Jumaat.
Shamshulkahar berkata, biarpun perancangan dilakukan mengikut arus globalisasi, namun kumpulan sasar harus dirujuk supaya matlamat dapat dicapai.
"Bermula dari DEB (1970) sehingga kepada pelan transformasi terbaharu, teras kepada pelan terdahulu perlu dirujuk dan dibuat penambahbaikan agar sasaran melonjakkan sosioekonomi bumiputera dapat dijayakan,” katanya.
Ujarnya, antara sasaran merapatkan jurang sosioekonomi bumiputera ialah dengan meningkatkan pencapaian pemilikan ekuiti saham atau ekonomi.
"Selain penyusunan semula masyarakat antara luar bandar dan bandar, kita mahu tingkatkan peratusan Bumiputera dalam guna tenaga ekonomi moden.
"Antaranya pemilikan saham korporat dengan menyasarkan 30 peratus selain meningkatkan usahawan Bumiputera dalam pengurusan korporat.
"Pada 1970 hanya 2.4 peratus pemilikan ekuiti saham oleh orang Melayu/bumiputera dalam negara. Ia masih rendah disebabkan latar belakang ekonomi Melayu sebelum ini sejak era sebelum merdeka. Dalam tempoh 20 tahun, ia berjaya ditingkatkan kepada 20.3 peratus pada 1990 namun kita tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian itu,” ujar beliau.