SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.
Ikuti pandangan Naib Pengerusi Wanita Majlis Belia Daerah Kinta merangkap Timbalan Yang Dipertua GPMS Cawangan Tambun, Sharifah Shazfika Syed Mohamed Rahim mengenai perkara tersebut.
Sebagai rakyat sudah pasti kita mahu kestabilan politik. Apakah bentuk atau ciri-ciri kestabilan politik yang anak muda impikan?
Pada saya sebagai anak muda kami inginkan kestabilan politik dari segi pentadbiran yang telus. Kes-kes rasuah yang sedikit sebanyak membimbangkan hati anak muda. Kami mahukan setiap apa keputusan dan tindakan kerajaan ini dapat kami pantau dan nilai. Tidak perlu berselindung kerana itu hak kami untuk mengetahuinya.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, apakah yang anda harapkan daripada seorang pemimpin?
Saya harap kita dapat seorang pemimpin yang betul-betul berjiwa rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan tidak bersikap kroni mereka sahaja. Saya harap pemimpin tersebut boleh dilantik dalam kalangan umur 45 tahun ke bawah kerana umur juga memainkan peranan yang penting untuk pemimpin tersebut memberikan komitmen yang terbaik dan bukan hanya duduk di pejabat sahaja tanpa mengetahui masalah rakyat di bawah.
Apa perubahan ekonomi yang anda sebagai anak muda harapkan dapat dicapai di Malaysia dalam masa terdekat?
Saya harap perubahan ekonomi di negara kita dapat diseimbangkan. Ini kerana saya lihat banyak ketidakadilan dan jurang pendapatan rakyat sekarang. Ini adalah sesuatu perkara yang perlu diambil berat kerana negara kita perlu meningkatkan taraf hidup semua lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan.
Apa jenis sokongan yang anda rasa perlu disediakan oleh kerajaan untuk golongan muda bertahan dalam sektor ekonomi?
Saya rasa apa yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk golongan muda ini bertahan dalam sektor ekonomi adalah dari segi bantuan pengembangan jaringan.
Ada anak muda yang tidak tahu saluran mana untuk mereka minta bantuan dan sebagainya. Kita perlu bantu mereka membina rangkaian profesional melalui program bimbingan yang disediakan oleh kerajaan melalui jabatan atau agensi sedia ada.
Kerajaan juga perlu dedahkan mereka dengan peluang-dengan atau platform jaringan yang ada untuk bantu mereka bertahan dan berjaya dalam persekitaran ekonomi yang berubah-ubah.
Apa yang anda rasa perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan di sekolah atau universiti di negara ini?
Saya rasa apa yang perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan di sekolah adalah dari segi silibusnya. Silibus mata pelajaran di sekolah rendah atau menengah ada sesetengahnya tidak relevan bagi peringkat umur mereka.
Ia berbeza dengan zaman dahulu, kini budak yang berumur 10 tahun sudah perlu mempelajari apa yang kami belajar ketika kami berumur 14-15 tahun. Kini mereka dipaksa untuk belajar silbus di tahap yang tinggi walaupun mereka masih belum berfikiran di tahap itu.
Bagi universiti, saya rasa apa yang perlu diperbaiki adalah segi kerelevanan kursus yang ditawarkan di universiti tersebut. Ada kursus yang tidak lagi mempunyai dan menawarkan peluang pekerjaan, lebih baik untuk membuang sahaja kursus tersebut dari membuat pelajar mengambilnya dalam masa 3 hingga 4 tahun tapi akhirnya tidak menjanjikan peluang pekerjaan mengikut sektor pekerjaan yang ada dalam Malaysia.
Apa jenis program atau kursus yang anda rasa perlu ditawarkan kepada golongan muda untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan?
Saya rasa jenis kursus yang perlu ditawarkan adalah dari segi kemahiran digital dan teknologi. Ini kerana sekarang semuanya dihujung jari, lagi-lagi selepas pasca Covid-19 kita nampak ramai golongan muda menggunakan teknologi untuk meneruskan kehidupan atau menjana pendapatan.
Kerajaan harus memastikan ada jaminan keselamatan siber, sediakan kursus kecerdasan buatan dan sebagainya supaya anak muda ini dapat mempersiapkan diri mereka menghadapi era digital yg semakin canggih lagi-lagi sekarang adalah pengembangan industri AI (kecerdasan buatan).
Apa peluang pekerjaan yang anda harap diperbanyakkan di Malaysia untuk golongan muda?
Saya harap lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang industri kreatif untuk golongan muda. Ini kerana sekarang adalah zaman media sosial, semua syarikat memerlukan media untuk mempromosikan jenama atau syarikat mereka. Industri ini luas yang dapat mengasah kreativiti dan inovasi golongan muda.
Golongan muda nak gaji berapa yang boleh dikategorikan stabil?
Saya rasa kalau cakap soal gaji ini biarlah setara bayarannya dengan tugasan yang diberi atau job scoope dan taraf pendidikan pekerja.
Kalau ikut stabil mungkin RM2,200 untuk kita survive dalam kos sara hidup yang semakin meningkat tapi saya rasa tidak adil untuk pekerja mahu minta gaji sebanyak itu sekiranya beliau tidak mempunyai taraf pendidikan yang layak untuk gaji tersebut.
Kerana sekarang ramai golongan muda nak gaji stabil tapi tiada taraf pendidikan tinggi atau pengalaman bekerja.