Anak muda impi gaji bermaruah untuk hidup

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Fadhli Umar

SEMPENA Hari Kemerdekaan yang ke-67, Sinar Harian mendapatkan pandangan pemimpin muda mengenai harapan dan impian mereka.

Ikuti pandangan Exco Pemuda Amanah Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda mengenai perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Sebagai rakyat sudah pasti kita mahu kestabilan politik. Apakah bentuk atau ciri-ciri kestabilan politik yang anak muda impikan?

Kestabilan politik yang mana pemimpin-pemimpin politik tidak hanya bertelagah secara tidak tentu hala dalam mendapatkan jawatan tetapi perlu akur dengan pilihan rakyat dalam satu-satu pilihanraya. Maka apabila satu kerajaan telah pun ditubuhkan, usah lagi berebut untuk menjatuhkan satu kerajaan yang telah tertubuh itu.

Iklan

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, apakah yang anda harapkan daripada seorang pemimpin?

Seorang Perdana Menteri yang berwawasan dan berkeupayaan dalam memimpin masyarakat Malaysia yang majmuk dengan kerencaman ekonomi dan berpandangan jauh ke hadapan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Iklan

Apa perubahan ekonomi yang anda sebagai anak muda harapkan dapat dicapai di Malaysia dalam masa terdekat?

Perubahan ekonomi dari segi kenaikan gaji khusus dalam kalangan anak muda dan graduan supaya mendapat gaji yang lebih bermaruah dan selari dengan kos sara hidup.

Ekonomi yang adil kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa supaya setiap lapisan rakyat dapat menikmati hasil negara yang amat bertuah seperti Malaysia tidak kira berada di bandar mahupun luar bandar dan pedalaman apatah lagi di Sabah dan Sarawak.

Apa jenis sokongan yang anda rasa perlu disediakan oleh kerajaan untuk golongan muda bertahan dalam sektor ekonomi?

Program gaji progresif adalah satu program yang amat baik dalam memastikan anak muda khususnya para graduan mendapat gaji yang setimpal dan bermaruah. Usaha kementerian ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia amat dihargai dan patut diberikan pujian.

Skim pemilikan rumah oleh anak muda juga perlu diteliti oleh kerajaan bagi memastikan anak muda mampu memiliki rumah. Selain itu, usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menjaga kebajikan para pekerja gig juga wajar dipuji.

Apa yang anda rasa perlu diperbaiki dalam sistem pendidikan di sekolah atau universiti di negara ini?

Sikap hormat menghormati sesama rakyat yang berbilang bangsa dan agama ini sangat penting untuk disemai dari awal persekolahan sehingga ke alam universiti.

Apa jenis program atau kursus yang anda rasa perlu ditawarkan kepada golongan muda untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan?

Program bersama industri perlu diperbanyakkan dan institusi pengajian tinggi perlu sentiasa berada dekat dengan pemain-pemain industri dalam memastikan kursus pengajian yang ditawarkan termasuk subjek-subjek adalah selari dengan kehendak industri seperti AI dan lain-lain.

Apa peluang pekerjaan yang anda harap diperbanyakkan di Malaysia untuk golongan muda?

Pekerjaan berkemahiran tinggi perlu diperbanyakkan selari dengan pengeluaran graduan yang dihasilkan oleh universiti yang meningkat saban tahun. Selain itu, pertanian moden juga perlu dititik beratkan supaya anak muda boleh meneroka peluang dalam pertanian moden dan menjana kewangan yang cukup lumayan dari industri pertanian.

Golongan muda nak gaji berapa yang boleh dikategorikan stabil?

Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan berkeluarga dengan anak seorang atau dua, pendapatan antara RM5,000-RM6,000 mungkin boleh dikategorikan sebagai stabil. Kalau di luar bandar, mungkin kurang sedikit daripada itu.