JURGEN Klopp menyamakan majlis pembukaan Sukan Paralimpik dengan konsert Taylor Swift ketika dia mengesa agar lebih banyak liputan diberikan kepada temasya itu selepas menyaksikan rakan lamanya, Wojtek Czyz, bermain badminton di Paris 2024.
Bekas pengendali Liverpool, Klopp menganggap kisah Czyz sebagai yang paling menginspirasi pernah didengarnya dan menjadikannya penonton berprofil tinggi di gelanggang satu Arena La Chapelle pada Jumaat.
Kaki kiri Czyz terpaksa dipotong selepas lututnya pecah dalam pertembungan dengan penjaga gol semasa bermain bola sepak pada 2001 sebelum menjadi juara Paralimpik empat kali untuk Jerman dalam acara olahraga.
Dia yang kini berusia 44 tahun turut membantu pesakit amputasi di negara-negara membangun mendapatkan prostetik secara percuma selepas membeli sebuah katamaran dan memulakan pelayaran mengelilingi dunia.
Debut Paralimpik untuk negara angkatnya New Zealand, di mana dia menetap selepas terperangkap di sana semasa pandemik Covid-19, berakhir dengan kekalahan 0-2 kepada Daniel Bethell dari Great Britain dalam acara perseorangan lelaki SL3.
Klopp yang telah bersahabat dengan Czyz sejak mereka bertemu dalam perlawanan bola sepak amal pada 2002, percaya sukan mempunyai kuasa untuk mengubah dunia dan merasakan acara Para layak mendapat lebih banyak pendedahan.
"Saya sentiasa menontonnya, jika anda boleh kerana itu sudah menjadi cabaran untuk memulakan, cuba cari Paralimpik di televisyen.
"Pada zaman sekarang ia sepatutnya lebih mudah dengan semua penstriman yang ada, tetapi saya rasa kita semua sudah bersedia untuk menonton lebih banyak daripada yang kita tayangkan.
"Hanya beberapa minggu yang lalu, kita ada Olimpik di sini dan tentu saja, ada lebih banyak kamera di sini. Seseorang perlu memulakannya," kata Klopp, 57, yang meninggalkan Anfield penghujung musim lalu
Jelas Klopp lagi, dia memahami bahawa bidang penyiaran adalah perniagaan 100 peratus, namun percaya lebih banyak segmen sedemikian seharusnya ditayangkan kerana ia sangat menggalakkan dan mengagumkan.
"Kita merasai Olimpik di sini, di Paris, dan sebelum itu dunia berada dalam krisis besar mungkin tetapi untuk dua setengah minggu itu, kita melupakannya, kerana itulah yang sukan boleh lakukan dan itulah yang Paralimpik boleh lakukan dan tiada perbezaan, tiada perbezaan sama sekali.
"Kisah di sebalik atlet sentiasa istimewa, kerana rakan saya sangat istimewa, dan itulah yang saya suka tentang sukan, bahawa ia boleh mengubah dunia, kadang-kadang hanya untuk seketika dan kadang-kadang untuk selamanya.
"Apa yang saya alami malam tadi adalah satu majlis pembukaan yang luar biasa. Ia seperti konsert Taylor Swift, luar biasa," katanya.
Czyz sebelum ini menjadi juara berturut-turut Paralimpik dalam acara lompat jauh F42/F44 di Beijing 2008, setelah memenangi emas dalam acara 100m dan 200m T42 di Athens pada 2004.
"Ia sangat istimewa, sangat istimewa."Saya tidak boleh lebih bangga - untuk melakukannya semula dalam sukan yang berbeza.
"Bayangkan anda memutuskan esok, sementara itu ia adalah idea yang baik jika saya pergi ke Olimpik atau Paralimpik'. Apa jua sukan, anda fikir, 'apa yang saya suka semasa kecil?' Di sinilah ia, itu sangat istimewa.
"Ia adalah kisah yang paling menginspirasi yang pernah saya dengar dalam hidup saya. Kisah ini perlu diceritakan, ia perlu, ia perlu, ia tidak normal," katanya.
Sementara itu, Czyz berkata:"Jurgen adalah keluarga. Ia sangat luar biasa bahawa Jurgen mahu datang.
"Tetapi bukan sahaja untuk saya, Jurgen ada di sini untuk membuat kenyataan bahawa Paralimpik dan sukan Para adalah luar biasa.
"Kita memerlukan orang seperti Jurgen untuk memberi tumpuan kepada perkara ini. Ia adalah hari yang hebat hari ini, walaupun kekalahan yang sukar," katanya.
Pemain British, Bethell, yang lebih gemar bermain ragbi berbanding bola sepak, berkata:"Ia sangat hebat untuk seseorang yang berkaliber seperti itu dalam dunia sukan hadir di Paralimpik.
"Saya mendengar Klopp bersorak 'well done' dan mendapat isyarat ibu jari daripada beliau juga. Itu sangat istimewa, satu detik yang sangat di luar realiti." - Bernama