Anak muda, jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum, agama - PM

Iklan
Perdana Menteri ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Jumaat. - Foto Awani

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan golongan muda untuk banyak membaca, mencari kebenaran dan tidak terpedaya dengan dakyah palsu.

Sebagai generasi penerus yang akan menentukan hala tuju negara, Anwar mahu mereka menghargai sejarah agar cakna dengan usaha pejuang terdahulu dalam mengangkat martabat negara.

Iklan
Iklan

Tegasnya, perjuangan itu telah meragut nyawa dan pengorbanan itu sangat besar buat negara, tidak harus disia-siakan.

"Jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama. Dipermain atau diperolok-olokkan untuk orang mencari wang dan kuasa atau pengaruh.

Iklan

"Cari kebenaran, tegakkan keadilan, selamatkan bangsa dan angkat martabat negara.

"Itu tugas generasi muda untuk selamatkan negara dan bangsa kita,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau berharap sambutan Hari Kebangsaan 2024 dimanfaatkan sebagai permulaan untuk semua rakyat berpaut antara satu sama lain demi memartabatkan Malaysia.

Jelasnya, Malaysia memiliki potensi yang hebat dan perkara itu mampu direalisasikan jika semua rakyatnya berpakat dan bersatu.

"Apa kurangnya di negara kita, kesedaran, pencerahan, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan harus diperbaiki untuk yang paling kaya kepada paling miskin.

"Jadi jangan pinggirkan sesiapa kerana semangat perpaduan sangat penting dan tidak boleh diremehkan,” katanya. - Awani