Lagu 'Biar Berkikis Bulu Betis' bergema di Putrajaya

Iklan
Suasana acara perbarisan dan perarakan pada sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” di Dataran Putrajaya pagi Sabtu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Aku enda peduli, Aku enda ngira rugi, Seagi aku enda puas ati,

Biar aku ambis bekikis bulu betis.

Iklan
Iklan

Itu antara lirik lagu popular Iban berjudul 'Biar Bekikis Bulu Betis' oleh penyanyi terkenal kaum itu, Penghulu Andrewson Ngalai Asom, yang turut melatari persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya di sini pada Sabtu.

Lagu tersebut sering dimainkan pada pesta atau keramaian di Sarawak, dipersembahkan menerusi slot persembahan Malaysia Madani, yang turut melibatkan lagu dari Negeri di Bawah Bayu bertajuk 'Original Sabahan'.

Iklan

Walaupun tidak dapat menyaksikan secara langsung persembahan lagu itu, Andrewson mengaku selaku komposer dan penulis lirik lagu itu, beliau berasa bangga serta gembira kerana karya seninya terpilih untuk dimainkan pada sambutan penting negara.

"Lagu ini untuk kita semua dan saya sentiasa bersedia untuk berkongsi lagu yang sinonim dengan kami di Sarawak dengan semua... malah, saya berbangga apabila kaum lain juga boleh menikmati lagu ini.

Iklan

"Pemilihan lagu ini juga dapat mendekatkan kami di Sarawak dengan semua rakyat Malaysia. Ini satu penghargaan kepada usaha saya mencipta lagu Biar Bekikis Bulu Betis dan sumbangan kecil untuk merapatkan hubungan kita semua," katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.

Lagu yang dikeluarkan pada 2003 itu antara lain mengisahkan kesungguhan seorang lelaki memikat wanita diminatinya, dan menjadi semakin sohor dalam kalangan rakyat luar Sarawak selepas sering dimainkan pada Kembara Kenali Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada September tahun lepas.

Selain itu Biar Bekikis Bulu Betis juga menjadi simbol perpaduan perpaduan dan penyatuan hubungan antara rakyat Bumi Kenyalang dengan negeri lain, termasuk pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Sarawak baru-baru ini.

Menerusi video tular di platform media sosial, lagu itu melatari tarian poco-poco antara atlet Sarawak bersama atlet negeri lain.

Saya anak Malaysia, tidak pernah terlepas saksikan sambutan Hari Kebangsaan sejak 1957

‘Saya anak Malaysia’, itu kata-kata Janny Lee, 69, yang tidak pernah terlepas meraikan sambutan Hari Kebangsaan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Warga emas dari Ampang, Selangor itu mengakui beliau sentiasa meraikan sambutan Hari Kebangsaan bagi menzahirkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Beliau berkata, setiap kali sambutan beliau akan membuat ‘papan tanda’ tema Hari Kebangsaan pada tahun tersebut, dihiasi dengan Jalur Gemilang.

"Tiap tahun papan tanda saya adalah berlainan. Saya hias papan tanda ini sejak tiga bulan lepas dan setakat ini saya ini tidak pernah terlepas sambutan.

"Kalau demam pun, saya sediakan panadol dan datang untuk meraikan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini pada Sabtu.

Janny berkata, beliau tiba di Dataran Putrajaya sejak 1 tengah hari semalam bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.

"Saya datang ke Putrajaya guna teksi, saya guna duit sumbangan tunai rahmah (STR) untuk datang dan tunjukkan semangat patriotisme saya,” katanya.

Sementara itu Zamarul Azuan Abdul Rahim, 46, bersama isteri dan dua anaknya tiba di Putrajaya sejak 2 petang semalam dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

"Ini kali pertama saya bawa keluarga untuk lihat sambutan Hari Kebangsaan, sangat teruja untuk nak lihat perbarisan,” katanya.

Warga China Lua Moa Qin, 25, pula ketika ditemui di sini berkata sambutan Hari Kebangsaan memang dinantikannya kerana ia unik dan penuh dengan tradisi.

"Ini kali kedua saya datang untuk saksikan perarakan besar begini, ia persembahan yang sangat unik,” kata pelajar program pertukaran di sebuah universiti tempatan itu.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 dengan tema 'Malaysia MadaniI: Jiwa Merdeka' hari ini menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan. - Bernama