LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan yang dijelmakan menerusi semangat berganding bahu tanpa mengira latar belakang masing-masing.
Sambil mengimbau sambutan ulangtahun Hari Kebangsaan ke-67, Chong Wei berkongsi kisah masyarakat yang hidup aman damai tanpa mengira latar belakang kaum pada zaman kanak-kanaknya.
Chong Wei berkata, dia sempat meminati bola sepak dan pernah bermain bersama kawan-kawan semasa kecil.
"Letak kasut sebagai tiang gol. Entah kenapa formasi kita sudah ditetapkan ibarat 'wahyu'. Kawan-kawan Melayu yang lincah main striker atau playmaker.
"Kawan India yang kaki maraton main winger. Yang Cina main midfield. Yang defend tak kisah kaum. Yang tak boleh berlari sangat tapi pandai belajar, dialah defend. Yang penjaga gol biasalah 'Mr Big Show' kelas.
"Itulah kita masa main bola, berganding bahu untuk menang. Biasanya main sampai tak tahu malam. Tetiba laungan Maghrib tiba barulah semua berlari balik bagai lipas kudung.
"Semua takut ibu, tak kisah ibu India, Melayu, Cina, bumiputera atau Mat Salleh. Aku biasanya budak terakhir tinggalkan padang bersama Abeed dan Nagentheran. Aku pemilik bola. Abeed dan Nagentheran pemilik kasut tiang gol," tulisnya di laman sosialnya.
Jelas pemenang pingat perak dalam tiga edisi Sukan Olimpik yang kini berusia 41 tahun itu, semangat bersama sedemikan menjadikan Malaysia kuat dan berdaya saing.
"Malaysia paling kuat apabila semua kaum bersama. Kami bersorak untuk sukan. Kami memaki hamun sesiapa yang kutuk makanan Malaysia.
"Sekiranya badan terkeluar darah, kita sama sahaja. Mana ada darah Cina, Melayu ke India. Semua darah merah jenis A, B, AB atau O.
"Tapi yang pasti, darah kita semua pasti pernah tertumpah di negara ini. Kita sebenarnya sangat sayang negara kita ini.
"Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia tersayangku," luahnya lagi.