Lesen platform media sosial bantu cegah penipuan dalam talian

Iklan
Kerangka kawal selia atau pelesenan platform media sosial boleh dimanfaatkan untuk memerangi dan menghapuskan perlindungan yang selamat bagi pelaku penipuan kewangan dalam talian. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerangka kawal selia atau pelesenan platform media sosial boleh dimanfaatkan untuk memerangi dan menghapuskan perlindungan yang selamat bagi pelaku penipuan kewangan dalam talian, kata penganalisis.

Penganalisis politik dan media sosial Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, pelesenan boleh memberi manfaat kepada pihak berkuasa dari segi mengukuhkan pengumpulan dan analisis data untuk membantu mengesan dan mencegah jenayah kewangan merentas sektor dan negara yang berbeza.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia perlu menggalakkan lebih banyak pelaporan jenayah kewangan serta melabur dalam pembinaan kapasiti dan latihan bagi penguatkuasaan undang-undang untuk membangunkan tindak balas yang lebih berkesan dan global.

"Kita memerlukan inisiatif yang menghimpunkan dan mengumpul semak maklumat mengenai ekosistem penjenayah siber dan pelaku ancaman utama yang sedang bertindak supaya rakyat Malaysia mempunyai kesedaran mengenai perkara ini.

Iklan

"Pelesenan adalah langkah penting pada masa depan untuk melindungi platform dan pengguna dalam talian yang terkenal terhadap ancaman siber yang berkembang dan semakin sofistikated," kata Sara kepada Bernama.

Beliau menekankan bahawa penipuan kewangan semakin meningkat di seluruh dunia memandangkan orang ramai memanfaatkan teknologi baharu yang canggih sehingga mewujudkan peluang kepada penjenayah dalam talian.

Iklan

Sehubungan itu, beliau berkata, pengawalseliaan adalah diperlukan.

"Walaupun pelesenan adalah satu kaedah, perkongsian maklumat merentas sektor dan antara negara adalah aspek penting dalam usaha memerangi jenayah kewangan dalam talian.

"Ini akan mewujudkan peluang kepada kerjasama yang lebih baik antara sektor swasta dan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani jenayah siber," kata Sara.

Pada 27 Julai lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bermula 1 Januari 2025.

Awal minggu ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri untuk meneruskan pelaksanaannya seperti yang dijadualkan.

UAE, Indonesia kawal selia platform media sosial

Menurut Sara, Malaysia tidak bersendirian dalam melaksanakan pelesenan media sosial berikutan negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengambil tindakan yang sama.

Beliau berkata, UAE telah melaksanakan peraturan baharu yang mewajibkan pempengaruh media sosial dan syarikat pemasaran untuk mendapatkan lesen bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan.

Indonesia yang mempunyai jumlah pengguna media sosial yang besar meskipun sekatan kerajaan terhadap aktiviti perdagangan sosial di negara itu baru-baru ini, menunjukkan minat kukuh untuk menceburi sektor e-dagang, katanya.

"Syarikat media sosial tidak berputus asa dalam aktiviti e-dagang di Indonesia, dan menurut penganalisis, platform media sosial yang memegang permit operasi di Indonesia mempunyai pilihan untuk memohon kedua-dua lesen perdagangan sosial dan e-dagang.

"Ini adalah munasabah, namun bergantung kepada dasar dalaman setiap platform media sosial, dengan mengambil kira pilihan mana yang bermanfaat dari segi faedah dan kesanggupan mengambil risiko," katanya. - Bernama