KUALA LUMPUR - Penganjur program Eksplorasi Merdeka @ Muzium 2024, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) bersama Jabatan Muzium Negara (JMM) mencipta Malaysia’s Book of Records dengan kehadiran 1078 peserta melibatkan 7 negeri dari 400 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Program itu telah diadakan di Muzium Negara dan Taman Botani Perdana Kuala Lumpur pada Khamis bermula 7 pagi sehingga 3.30 petang.
Program itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami.
Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabaran Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Abdul Aziz Hashim, antara kelainan yang dibawa pada tahun ini adalah tema yang dipilih, iaitu Kerjaya Impian dimana peserta perlu berpakaian lengkap kerjaya impian mereka.
"Terdapat penambahan dalam pengisian program yang melibatkan pengisian Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET); Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan Bahasa Inggeris yang bertepatan dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Beberapa agensi luar dijemput untuk mengadakan pameran yang bertujuan memberi peluang kepada pihak berkepentingan khususnya di Kuala Lumpur bekerjasama membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid dan guru,” katanya ketika ditemu bual di saluran radio, baru - baru ini.
Abdul Aziz berkata, program Eksplorasi Merdeka JPWPKL @Muzium 2024 diadakan bertujuan untuk mengupayakan potensi guru-guru dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang kreatif, inovatif dan bermakna berdasarkan elemen merentas kurikulum (EMK) bagi meningkatkan minat murid terhadap PdP.
"Program ini adalah salah satu usaha untuk mendidik generasi muda, khususnya murid sekolah untuk mengenali, menghargai serta memelihara produk warisan dunia yang berada di negeri mereka,” kata Abdul Aziz.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan hasrat KPM mengutamakan Pendidikan Manusiawi dan Pembangunan Karakter yang menerapkan nilai murni dalam diri murid bagi menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat.
"Ia juga mengukuhkan keharmonian sosial dan melahirkan generasi yang mempunyai empati yang tinggi serta cintakan keamanan
"Saya amat mengharapkan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana ia kali kedua dilaksanakan dengan pihak muzium untuk memberi pendedahan secara langsung kepada guru dan murid kepada sumber pendidikan yang terdapat di muzium.
"Melalui eksplorasi ini, diharapkan dapat merangsang minat murid terhadap pembelajaran khususnya mata pelajaran Sejarah iaitu mata pelajaran yang wajib lulus untuk mendapat sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Beliau berharap agar hubungan itu tidak hanya berhenti di sini bahkan lebih banyak sesi libat urus yang lain khususnya dalam aspek memupuk nilai-nilai positif dalam diri anak didik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Program ini juga akan menjadi titik tolak kepada JPWPKL dan JMM untuk terus berkolaboratif bagi melestarikan pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa demi memakmurkan negara kita Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Teruskan kerjasama
Menurut Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria, Program Eksplorasi Merdeka JPWPKL@ Muzium merupakan sinergi rentas jabatan yang diadakan buat kali kedua diantara JPWPKL dan JMM.
"Susulan kejayaan program pertama yang telah diadakan sebelum ini, Muzium Negara berbesar hati untuk meneruskan kerjasama bagi menjayakan program ini pada tahun ini,” katanya yang turut menjadi tetamu pada sesi temu bual bersama stesen radio.
Zamrul Amri berkata, Muzium Negara diberikan tugas untuk Aktiviti Eksplorasi Muzium yang akan melibatkan empat muzium iaitu Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu (MEDM), MSKOA, Muzium Muzik dan satu pameran khas iaitu Pameran Raja Kita.
"Setiap kumpulan yang menyertai program ini dikehendaki menjawab soalan berkisarkan kepada pameran dan koleksi mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Ditanya mengenai tercetusnya idea untuk melaksanakan program itu secara bersama, Zamrul Amri berkata, pada awalnya, pihak JPWPKL yang mencetuskan idea untuk Meneruskan program ini pada tahun 2024.
"Setelah melalui beberapa siri perbincangan dan pembentangan pihak kami amat berbesar hati untuk bersama-sama menyokong dan seterusnya merealisasikan program ini buat kali kedua dengan konsep dan aktiviti yang berbeza,” katanya.
Ruang dan peluang
Beliau berkata, Muzium Negara sentiasa membuka ruang dengan pelbagai pihak dalam menjayakan program-program yang memartabatkan sejarah, warisan, seni, budaya dan alam semulajadi.
"Mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan Muzium Negara hendaklah menghantar surat permohonan berserta kertas kerja kepada Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia.
"Saya berharap agar para penontong dapat memberikan sokongan kepada Muzium Negara melalui lawatan secara kerap ke sana atau turut serta dalam apa jua program yang dilaksanakan.
"Maklumat program dan perkembangan Muzium Negara boleh diakses di laman sesawang Muzium Negara atau media sosial Muzium Negara Rasmi,” katanya.