KUALA TERENGGANU - Ibu bapa kepada 23 bayi yang dilahirkan di Terengganu bersyukur kerana dikurniakan rezeki menimang cahaya mata sempena ulang tahun Hari Kebangsaan Malaysia ke-67 pada Sabtu.
Rata-rata mereka yang ditemui mengakui teruja dan tidak menyangka bayi mereka dilahirkan sempena tarikh keramat itu.
Syafinaz Mohamad, 25, berkata, dia bersyukur kerana anak keduanya merupakan bayi pertama yang dilahirkan pada jam 1.23 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
"Saya harap dia akan membesar dengan sihat dan menjadi seorang yang hebat untuk menyumbang sesuatu kepada negara," katanya yang ditemani suami, Muhammad Faris Aslam, 26.
Sementara itu, Normala Zakaria, 32, pula berkata, dia dan suaminya, Ahmad Fahmi Ab Ghafar, 29, bersyukur kerana anak ketiga mereka dilahirkan pada tarikh kemerdekaan negara.
Katanya, tarikh sebenar jangkaan kelahiran bayi perempuan itu sudah diberitahu pada 31 Ogos.
Sebagai persediaan, katanya, mereka yang bekerja di Johor telah pulang ke Terengganu awal bulan lalu kerana berharap bayi tersebut dilahirkan di Terengganu.
"Sejak tahu tarikh jangka kelahiran dia, hati kami memang berdebar-debar, namun saya tidak mahu terlalu berharap sebaliknya banyakkan berdoa agar kelahiran ini selamat," katanya.
Normala ditemui pemberita sempena majlis meraikan kelahiran bayi merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Zamri Mat Zain.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, bermula jam 12 tengah malam hingga 11 pagi ini seramai 23 bayi merdeka iaitu 12 bayi lelaki dan 11 bayi perempuan dilahirkan di seluruh Terengganu.
Katanya, daripada jumlah itu, 18 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu; Hospital Kemaman (3) serta masing-masing seorang bayi dilahirkan di Hospital Setiu dan Hospital Hulu Terengganu.
Beliau memberitahu, kesemua bayi tersebut menerima hadiah istimewa dari beberapa pihak iaitu Co-opbank Pertama, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu.
"JPN Terengganu turut mengambil kesempatan bertemu ibu bapa yang bertuah dan memberi penerangan mengenai tempoh pendaftaran kelahiran bayi kepada mereka
"Kita harap cenderahati yang diberikan ini akan dapat menceriakan lagi keluarga bayi merdeka pada tahun ini," katanya.