KUANTAN - Perarakan kenderaan perisai daripada 4 Briged Mekanize antara yang menarik tumpuan orang ramai pada Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dekat sini pada Sabtu.
Ketika semua teruja untuk melihat kehebatan jentera perisai tempur itu secara lebih dekat, ramai yang mungkin langsung tidak menyangka atau perasaan tentang salah seorang 'pegawai tentera' yang berada di atas kenderaan tersebut.
Rata-rata agak terkejut selepas identiti pegawai tersebut diumumkan.
Individu dimaksudkan adalah Tengku Panglima Perang, Leftenan Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, 24, yang juga ketua kenderaan perisai tempur terbabit.
Leftenan Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah kini menyandang jawatan Pemimpin Trup di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja sejak 11 Ogos tahun lalu.
Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah begitu meminati bidang ketenteraan dan telah menyertai Kadet Royal Military Academy, Sandhurst, England sebelum menyertai tentera pada September 2022.
Kemunculan 'istimewa' itu turut disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda berdua berangkat untuk bersama lebih 50,000 pengunjung bagi meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang itu.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seramai 4,145 peserta dan 563 kenderaan dari 111 kontinjen memeriahkan acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang kali ini.