SHAH ALAM - Pertuduhan membabitkan bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berhubung dakwaan menerima rasuah menggambarkan jenayah berkenaan semakin tenat.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, kes sedemikian seharusnya membuka mata masyarakat bahawa rasuah kini menjadi perbuatan yang tidak lagi disegani untuk dilakukan.
"Badan yang menjadi adat resam dan benteng mencegah diri daripada amalan rasuah lolos juga (terpalit dengan rasuah). Ini memperlihatkan budaya rasuah semakin tenat dan perlu dirawat segera.
"Pihak berwajib harus lebih efektif dalam menapis audit sebarang tuntutan dan akuan agar ketirisan tidak berlaku kerana pada akhirnya perbuatan berkenaan akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sebelum ini, seorang bekas ahli MAIDAM bersama isterinya masing-masing didenda RM10,000 dan RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat.
Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan isterinya, Lydia Irmawati Mahmud, 41, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Mengulas lanjut, Hamdan Daniel berkata, denda sedia ada perlu dikaji semula agar lebih menyedarkan masyarakat bahawa rasuah adalah jenayah yang patut mendapat hukuman berat.
Ketika ditanya mengenai implikasi tuntutan palsu, beliau memaklumkan, tindakan berkenaan akan merosakkan nama baik instutisi.
"Bukan itu sahaja, tindakan yang tidak bermoral itu akan mengakibatkan orang ramai hilang kepercayaan dan rasa hormat terhadapnya.
"Perbuatan terkutuk itu akan mengundang kepada seribu pandangan negatif yang boleh meruntuhkan institusi tersebut,” ujarnya.