Tanah jerlus Masjid India: 'Terima kasih di atas usaha dilakukan semua'

Iklan
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]"Terima kasih di atas usaha yang dilakukan semua.

Demikian ucapan penghargaan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman di hadapan para petugas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini pada Sabtu.

Sulizme bersama Timbalan Pengarah Bomba Lumpur, Rozihan Anwar Mamat di hari terakhir SAR tanah jerlus di Jalan Masjid India, pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Sulizme berkata, beliau menghargai usaha semua pihak terlibat dalam SAR di lokasi kejadian.

"Penghargaan kepada usaha tuan-tuan dan puan-puan sepanjang operasi di lokasi SAR walaupun keputusan dan pencarian dibuat tidak menjumpai apa-apa.

Iklan

"Tetapi sekurangnya semangat tuan puan telah menunjukkan satu komitmen tinggi untuk sama-sama bekerja," katanya dalam perbarisan akhir setelah SAR ditamatkan di hari kesembilan di sini pada Sabtu.

Penghargaan itu ditujukan kepada semua petugas antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Indah Water Konsortium (IWK).

Iklan

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimumah Mohd Sharif.

Sebelum itu, dalam sidang akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan operasi SAR yang memasuki hari kesembilan pada Sabtu ditamatkan serta-merta atas faktor keselamatan semua pihak.

Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, mangsa iaitu G Vijaya Lakshmi, 48, hilang dalam tanah jerlus semasa berjalan kaki di lokasi terbabit.