GEORGE TOWN -"Keselesaan pengunjung adalah keutamaan kami, kerana itu aspek kebersihan sangat dititik berat termasuk di tandas."
Perkara itu dikongsikan Pengarah Urusan The George Penang, Peter Lo Chine Pan yang memenangi Anugerah Tandas Terbaik (TOYTA) 2023 bagi kategori hotel anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurutnya, selain konsep dan hiasan dalaman yang menarik sudah pasti pihaknya sentiasa memastikan keseluruhan ruangan tandas di hotel mereka bersih, menawan dan wangi (BMW).
"Di sini, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman menginap yang selesa buat tetamu tetapi kita juga mahu pastikan apabila menggunakan tandas mereka akan rasa tenang dan segar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Sabtu.
Peter berkata, butik hotel yang dibuka hampir dua tahun lalu itu kini menjadi tumpuan tetamu kenamaan dan pelancong asing, disebabkan itu soal kebersihan ditekankan agar imej pelancongan negeri ini dapat dijaga sekali gus menjadi sebutan ramai.
Malah katanya, dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan tiba tidak lama lagi seharusnya semua pengendali hotel perlu memastikan perkhidmatan asas ini dapat disediakan dengan terbaik untuk kegunaan pengunjung.
Beliau berkata, bagi memastikan kebersihan tandas di premis berkenaan sentiasa terurus dan bersih, pihaknya akan memastikan tandas yang disediakan diselenggara setiap satu jam oleh pekerja pembersihan.
"Sekurang-kurangnya satu jam sekali petugas kita akan melakukan kerja-kerja pembersihan, memastikan tisu dan kemudahan lain lengkap selain memastikan tandas sentiasa berbau menyegarkan.
"Sekiranya ini dapat kita jaga, pastinya pelanggan akan lebih yakin dan menikmati pengalaman yang bermakna walaupun hanya dengan menggunakan tandas," ujarnya.