Pekerja bengkel maut, 6 cedera kereta langgar lembu melintas

Iklan
Keadaan kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. Gambar kanan: Keadaan lembu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. - Foto: IPD Kluang

KLUANG – Seorang pekerja bengkel maut manakala enam lagi cedera dalam nahas membabitkan lima kenderaan selepas sebuah kereta terbabas setelah melanggar seekor lembu melintas di Kilometer 24, Jalan Renggam-Simpang Renggam dekat sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 6.28 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga, empat motosikal jenis Vespa Sprint Scooter, Vespa Super, Vespa Sprint,Yamaha Y15ZR dan seekor lembu.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta jenis Proton Saga itu datang dari arah Renggam menghala ke Simpang Renggam manakala empat motosikal terbabit dari arah Simpang Renggam menghala ke Renggam.

"Setibanya di lokasi kejadian, seekor lembu telah melintas jalan mengakibatkan kereta jenis Proton Saga itu melanggar lembu tersebut lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Vespa Sprint Scooter.

Iklan

"Ia menyebabkan penunggangnya, Muhamad Ammar Ibrahim, 24, yang beralamat di Benut Pontian mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Bahrin berkata, pada masa sama, kesemua penunggang motosikal jenis Vespa yang lain gagal mengelak dan turut melanggar lembu berkenaan.

Iklan

Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang bagi mendapatkan rawatan.

"Pemandu kereta jenis Proton Saga yang berusia 34 tahun dilaporkan mengalami sakit di bahagian dada manakala penumpang depan iaitu anaknya, 15, mengalami pendarahan dalam kepala.

"Penunggang Vespa Sprint, 23, pula mengalami pendarahan dalam kepala dan luka di kaki kiri manakala penunggang Vespa Super, 25, sakit di bahagian badan, paha serta lutut kiri.

Selain itu, katanya, penunggang Yamaha Y15ZR, 18, mengalami sakit di bahagian badan dan kaki kiri sementara pemboncengnya, 16, sakit di bahagian badan dan kaki kanan.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.