KUALA LUMPUR - Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India dilancarkan, ia kini beralih ke fasa 'search and recovery.'
Seramai 194 anggota dan pegawai daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam, Indah Water Konsortium (IWK), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Polis Diraja Malaysia, unit K9 dan agensi lain terbabit dalam operasi itu, yang dijalankan di lokasi utama insiden iaitu sekitar Jalan Masjid India serta loji kumbahan di Pantai Dalam.
Pelbagai kaedah digunakan dalam operasi itu antaranya selaman di enam lurang kumbahan serta loji IWK Pantai Dalam, teknik flushing, jetting, simulasi tong dan botol.
Namun kesemua usaha gagal membuahkan hasil dan mangsa belum ditemukan selain tiada sebarang petunjuk mengenai keberadaan wanita itu.
Di sebalik keputusan 'negatif' yang diperoleh pasukan SAR pada setiap hari pencarian, perkara itu tidak pernah melunturkan semangat anggota dan pegawai terlibat untuk terus komited mencari mangsa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, operasi itu berjaya menyatukan semua agensi terbabit dan setiap anggota telah menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi sejak hari pertama pencarian.
"Secara keseluruhan, operasi berjaya menyatupadukan semua agensi terlibat walaupun tidak berjaya daripada sudut pencarian mangsa.
"Terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh semua. Semua anggota dan pegawai ini telah menunjukkan komitmen tinggi untuk sama-sama bekerja," katanya dalam perbarisan akhir selepas operasi SAR ditamatkan pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media di sini memaklumkan bahawa operasi SAR yang memasuki hari kesembilan dihentikan dan kini memasuki fasa 'search and recovery.'
Setakat jam 5.30 petang ini, tinjauan Bernama di Jalan Masjid India mendapati khemah yang menempatkan pasukan SAR ditutup dengan kanvas biru manakala orang ramai sudah dibenarkan melalui laluan pejalan kaki di depan lokasi kejadian.
Ada antara pengunjung mengambil kesempatan merakam gambar di lokasi kejadian dan memerhatikan kerja-kerja pengalihan barang oleh DBKL.
Selain itu, laluan sepanjang kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian hingga ke bangunan Mydin ditutup kepada kenderaan bagi membolehkan DBKL melakukan kerja-kerja pembinaan semula.
Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian untuk mengesan mangsa. - Bernama