SHAH ALAM - Peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani isu hasutan perkauman perlu ditambah baik dengan memastikan kesalahan dilakukan di media sosial boleh didakwa mengikut akta sama.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, ini kerana undang-undang sebelum ini menjurus kepada kesalahan media cetak, sedangkan isu hasutan sering berlaku di media sosial seperti Facebook, Telegram dan sebagainya.
Menurutnya, keadaan sekarang lebih mencabar dan akta juga perlu dipertimbangkan untuk dipinda mengikut perubahan masa.
"Undang-undang sedia ada lebih kepada cetakan atau terbitan tetapi kini masyarakat banyak menggunakan media sosial.
"Jadi, saya rasa undang-undang pun perlu lebih canggih, kalau boleh sekat sebarang cerita yang boleh memecahbelahkan masyarakat sebelum keluar,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk meminda dan menambah peruntukan undang-undang bagi menangani isu hasutan perkauman.
Bagaimanapun katanya, ada beberapa perkara perlu dikaji secara menyeluruh terlebih dahulu, antaranya jenis kesalahan, jumlah hukuman dan denda.
"Kalau ikutkan hukuman penjara itu agak berat sebenarnya, manakala jumlah bayaran dalam konteks kelayakan Parlimen jika dikenakan lebih RM2,000 sudah cukup untuk menafikan kelayakan sebagai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Saya rasa ia sudah boleh disifatkan sebagai langkah pencegahan. Kalau mahu lebih tinggi kita sudah ada Kanun Keseksaan, lihat bagaimana kesesuaian kesalahan individu itu,” ujarnya.
Khairil Azmin turut berharap sebarang pindaan dilakukan kepada peruntukan undang-undang perlulah dilakukan dengan telus.
"Kita tidak mahu ia disalahgunakan dan ada unsur berat sebelah. Jadi, saya rasa perlu ada pe-nguatkuasaan yang terdiri daripada pihak tidak berkepentingan untuk semak dan imbang.
"Ia umpama serampang dua mata iaitu memperbaiki undang-undang dan pada masa sama tidak menyekat kebebasan bersuara,” jelasnya.