WUIF mohon pertemuan bersama kementerian

Iklan
Antara peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour 1446h/2024 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat. (Gambar kecil: Marhaini) FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan mengemukakan surat berhubung cadangan penganjuran Malaysia #QuranHour sebagai program tahunan sempena Hari Kebangsaan Malaysia (HKM).

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, penyerahan itu adalah bukti kesungguhan pihaknya yang mahu menjadikan acara tersebut dimasukkan dalam Bulan Kebangsaan seperti diminta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH, kita akan kemukakan surat dengan segera untuk diserahkan kepada menteri pada minggu depan.

"Kami juga akan memohon untuk mengadakan pertemuan bersama kementerian bagi mencadangkan kandungan bakal dibawakan pada Malaysia #QuranHour 2025 iaitu surah al-Saff,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini Fahmi berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan penganjuran program itu dimasukkan ke dalam kalender Bulan Kebangsaan setiap tahun.

"Jemputan pertama membawa kepada usaha WUIF menjadikan program ini sebagai salah satu acara sambutan HKM setiap tahun, namun selepas berlaku beberapa pertukaran politik dan wabak Covid-19, usaha kolaborasi terhenti.

Iklan

"Bagaimanapun, pelaksanaan Malaysia #QuranHour tetap diadakan dalam kalangan komuniti al-Quran, sekolah, organisasi, agensi serta rakyat setiap kali menjelang HKM,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kepentingan Malaysia #QuranHour menjadi sebahagian daripada acara kebangsaan, Marhaini berkata, al-Quran mempunyai segala solusi dalam usaha memerdekakan jiwa dan memaknai Rukun Negara.

"Kita mahu menghidangkan sambutan ini dengan al-Quran, bertujuan menukar pemikiran umat Islam di negara ini dengan al-Quran. Sebagai Muslim, kita tidak boleh menidakkan ‘formula’ ALLAH SWT yang mantap.

"Bukan itu sahaja, kita mahu lebih ramai rakyat sama ada dalam mahupun di luar negara turut serta bagi meluaskan lagi capaian Malaysia #QuranHour.

"Alhamdulillah, Malaysia #QuranHour 2024 mendapat capaian 7.42 bilion iaitu meningkat daripada statistik semasa World #QuranHour 2024 iaitu 7.38 bilion,” jelasnya.