JAKARTA - Seorang lelaki maut apabila ditikam dengan sebilah pisau dalam satu insiden perkelahian yang berlaku di pinggir jalan raya Pamulang, Banten pada Jumaat.
Mengesahkan insiden itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, AKBP V Inkiriwang berkata, kejadian bermula dengan pergaduhan mulut antara kedua-dua mereka.
"Sebelum itu, mereka bergaduh mulut dan ada perkataan mangsa yang menggores hati suspek yang yang diungkapkan ketika mereka bersama kawan-kawan yang lain.
"Oleh kerana itu suspek naik berang lalu berniat mahu membunuh mangsa," katanya dalam satu sidang media di sini pada Sabtu.
Tambahnya, pembunuhan itu mungkin dirancang oleh suspek kerana dia menyimpan senjata tajam.
Sementara itu, klip video yang memaparkan pergaduhan mereka tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.
Difahamkan kedua-dua mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang dan saling mengenali.
Suspek kini sudah ditahan polis berserta barang bukti iaitu sebilah pisau yang digunakan suspek ketika membunuh mangsa. - Agensi